Pengendali Skuad Senior Lelaki Negara, Arul Selvaraj hari ini mengumumkan senarai 22 pemain yang dipanggil menyarung jersi kebangsaan selepas berakhirnya Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia 2021, awal bulan ini.

Sesi latihan yang akan bermula pada 15 April (Khamis) ini menyaksikan hanya seorang muka baru dipanggil menyertai kem negara, di mana Muhammad Azri Hassan yang tidak bersama pasukan kebangsaan sebelum ini kembali menyarung jersi kebangsaan dan 21 pemain lama dikekalkan dalam pemilihan skuad kali ini.

Menerusi senarai yang telah dikeluarkan, purata usia pemain yang bersama pasukan kebangsaan adalah 26.5 tahun dengan 10 pemain merupakan mereka yang mewakili pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB), tujuh pemain daripada Universiti Kuala Lumpur (UniKL), tiga pemain Maybank sementara dua pemain lagi daripada Terengganu Hockey Team (THT).

Sementara daripada pecahan posisi pemain pula, dapat dilihat empat penjaga gol dibariskan oleh pengendali kebangsaan, lapan pemain di barisan pertahanan, lima pemain tengah dan lima lagi merupakan pemain di jentera serangan.

Barisan 22 pemain ini akan melalui fasa ujian pertama mereka bersama pasukan kebangsaan di mana seperti yang telah diumumkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) baru-baru ini, siri perlawanan persahabatan bersama Great Britain dan Jepun akan mengambil tempat bermula 17 hingga 24 April di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Menurut Jurulatih Kebangsaan, Arul Selvaraj, beliau memerlukan pemain yang mempunyai kualiti dan berpengalaman bagi bersama pasukan kebangsaan selain melihat ujian pertama skuad negara dalam siri persahabatan yang telah diatur bukan sesuatu yang mudah untuk anak-anak buahnya.

“Menerusi senarai yang telah saya umumkan, ada beberapa pemain yang masih mengalami kecederaan tetapi ia bukan kecederaan yang serius dan masih boleh dikawal di mana pasukan kebangsaan juga mempunyai pakar fisioterapi skuad kebangsaan yang terbaik daripada Institut Sukan Negara (ISN).

“Saya masih mengekalkan pemain-pemain ini kerana mereka merupakan pemain yang berkualiti dan skuad negara memerlukan mereka untuk jangkamasa panjang selain saya memanggil satu muka baru iaitu Azri Hassan.

“Azri telah beraksi dengan cukup baik pada saingan liga baru-baru ini selain beliau bukanlah asing bersama pasukan kebangsaan dan telah mengumpul 101 caps serta antara pemain yang beraksi ketika Final Sukan Asia 2018.

“Saya juga memerlukan pemain yang mempunyai pengalaman dan Azri antara pemain yang bagus, jadi tidak salah untuk saya memberi beliau peluang sekali lagi. “Perlawanan persahabatan bersama Great Britain dan Jepun pastinya bukan sesuatu yang mudah kerana mereka dalam fasa persiapan secara mental dan fizikal bagi menuju ke Sukan Olimpik Tokyo sementara skuad negara masih dalam fasa mempersiapkan pasukan bagi kejohanan antarabangsa yang akan datang.

“Saya akan memberikan fokus sepenuhnya termasuk perkara-perkara kecil dalam membentuk kembali pasukan kebangsaan.

“Ini termasuk bekerjasama dengan mereka dari sudut rasa bertanggungjawab, kepimpinan dalam pasukan sama ada di dalam mahupun di luar padang, serta membuat keputusan demi pasukan. Saya juga akan memberikan fokus bagi memperkukuhkan lagi struktur di barisan pertahanan,” jelas beliau.

 

Berikut merupakan senarai pemain yang dipanggil menyarung jersi kebangsaan

1. MUHAMMAD HAFIZUDDIN B. OTHMAN (THT) PENJAGA GOL

2. ADRIAN ANDY ALBERT (UNIKL) PENJAGA GOL

3. MUHAMMAD ZAIMI B. MAT DERIS (MAYBANK) PENJAGA GOL

4. MOHAMMAD HAIRI B. ABDUL RAHMAN (TNB) PENJAGA GOL

5. MUHAMMAD RAZIE B. ABDUL RAHIM (UNIKL) PERTAHANAN

6. MUHAMMAD MARHAN B. MOHD JALIL (UNIKL) PERTAHANAN

7. ZULPIDAUS B. MIZUN (UNIKL) PERTAHANAN

8. SYED MOHAMAD SYAFIQ B. SYED CHOLAN (TNB) PERTAHANAN

9. MUHAMMAD NAJIB B. ABU HASSAN (TNB) PERTAHANAN

10. MUHAMMAD AMINUDDIN B. MOHD ZAIN (TNB) PERTAHANAN

11. MUHAMMAD AZRI B. HASSAN (UNIKL) PERTAHANAN

12. MUHAMMAD NAJMI FARIZAL B. JAZLAN (MAYBANK) PERTAHANAN

13. NIK MUHAMMAD AIMAN B. NIK ROZEMI (TNB) TENGAH

14. FAIZ HELMI B. JALI (TNB) TENGAH

15. MUHAMAD RAMADAN B. ROSLI (TNB) TENGAH

16. MOHAMAD ASHRAN B. HAMSANI (UNIKL) TENGAH

17. MEOR MUHAMMAD AZUAN B. HASSAN (MAYBANK) TENGAH

18. NORSYAFIQ B. SUMANTRI (TNB) PENYERANG

19. MUHAMMAD FIRHAN B. ASHAARI (TNB) PENYERANG

20. MUHAMMAD SHAHRIL B. SAABAH (TNB) PENYERANG

21. FAIZAL B. SAARI (THT) PENYERANG

22. TENGKU AHMAD TAJUDDIN B. TENGKU ABDUL JALIL (UNIKL) PENYERANG

- Advertisement -