kim-swee

Oleh Muhammad Aiman

Bermula dengan langkah kanan, tetapi ia belum membuatkan pengendali skuad kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee untuk berpuas hati dengan kualiti permainan ditunjukkan pemainnya.  

Di sebalik kemenangan 3-2 ke atas Kemboja, Kim Swee jujur mengakui ia bukan prestasi terbaik Harimau Malaysia meskipun mereka menunjukkan semangat juang tinggi untuk dua kali bangkit daripada ketinggalan dan mengesahkan tiga mata.

Justeru pengendali berusia 45 tahun itu menuntut prestasi lebih baik dari pemainnya apabila berdepan pasukan pilihan Kumpulan B, Vietnam dalam aksi kedua, Rabu ini.

“Seperti saya jangka, ia satu kemenangan yang sukar. Adalah penting untuk keyakinan pemain apabila dapat dua kali bangkit dan memenangi perlawanan. Memang itulah tujuan kita, kalau dapat hanya satu mata, maka kita akan lebih tertekan selepas ini.

“Tetapi saya pasti, perlawanan kedua nanti kita perlu bermain lebih baik daripada hari ini dan saya percaya kita akan bertambah baik. Pada perlawanan hari ini, gol pertama yang kita lepaskan pada awal permainan menyebabkan permainan sedikit terjejas.

“Selepas itu kita terpaksa menggandakan usaha untuk mencari gol penyamaan dan ini menyebabkan pemain keletihan apatah lagi dalam keadaan cuaca panas,” kata Kim Swee pada sidang media selepas perlawanan.

Pada perlawanan di Stadium Thuwanna itu, pemain veteran Amri Yahyah muncul wira skuad negara apabila menjaringkan dua gol untuk membantu Malaysia bangkit dua kali daripada ketinggalan dan melakar kemenangan ke atas Kemboja pada aksi pembuka tirai Kumpulan B Piala AFF Suzuki.

Kemboja memanfaatkan kontroversi berpunca dari kesilapan penjaga garisan dan kesilapan pertahanan Malaysia untuk mendahului menerusi ayam tambatan mereka, Chan Vathanaka pada minit ketujuh dan 64.

Namun jaringan pemain sayap, Syazwan Zainon pada minit ke-38 serta Amri pada minit ke-72 dan 84 menyelamatkan Malaysia dari diaibkan pasukan yang sebelum ini sinonim dengan label skuad belasahan itu.  

Mengenai jaringan kontroversi itu, Kim Swee berkata, “Saya tidak pasti, saya perlu melihat semula situasi itu menerusi rakaman video, yang mana pembantu pengadil sudah mengangkat bendera menyebabkan semua pemain termasuk pemain Kemboja berhenti.

“Tetapi pengadil mengarahkan untuk teruskan permainan dan ini menjadi tanda tanya. Apapun, ini adalah pengajaran buat kita agar bermain mengikut wisel, bukan mengikut bendera,” ujarnya.

Malaysia ketika ini mendahului Kumpulan B dengan perbezaan jaringan ke atas Vietnam, yang turut bermula dengan langkah kanan setelah menewaskan tuan rumah, Myanmar 2-1.

Kemenangan ke atas Vietnam pada Rabu bakal mencerahkan peluang skuad negara yang merupakan finalis edisi 2014 untuk mencapai sasaran mara ke separuh akhir.

- Advertisement -