Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa tiket bagi menyaksikan perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2018 menentang Laos dan Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil telah mula dijual secara atas talian.

Penyokong yang mahu membeli tiket bagi kedua-dua perlawanan itu boleh berbuat demikian dengan mengunjungi laman web www.tickethotline.com.my .

Tiket bagi tempat duduk biasa berharga RM20 sementara tempat duduk Grandstand berharga RM30. Bagi tiket kanak-kanak pula, harganya adalah RM5.

Selain tiket perlawanan Piala AFF Suzuki, tiket bagi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Maldives pada 3 November nanti juga telah mula dijual di laman web yang sama.

Malaysia bimbingan Tan Cheng Hoe dijadual membuka tirai saingan AFF Suzuki dengan menentang Kemboja bimbingan Keisuke Honda pada 8 November di Phnom Penh sebelum berdepan Laos dalam aksi kedua Kumpulan A pada 12 November di gelanggang sendiri.

Mereka kemudian akan terbang ke Hanoi untuk menentang Vietnam pada 16 November dan kembali ke tanah air untuk aksi penutup kumpulan menentang Myanmar pada 24 November.

Harimau Malaya yang gagal melepasi halangan peringkat kumpulan dua tahun lalu disasarkan untuk layak ke final kali ini. Kali terakhir Malaysia melangkah ke perlawanan akhir adalah pada edisi 2014 yang mana skuad bimbingan Dollah Salleh terpaksa berpuas hati selaku naib juara setelah tewas kepada Thailand.

Malaysia pernah muncul juara pada edisi 2010, ketika itu skuad K.Rajagobal menewaskan Indonesia dalam aksi final. MUHD AIMAN 

- Advertisement -