Juara bertahan, Penang Black Panthers dilihat sudah menemui semula momentum mereka apabila melakar kemenangan keempat berturut-turut dan yang kelapan dalam saingan Sepaktakraw League (STL) Premier 2018 dengan menewaskan ATM Guardians pada Ahad.

Kemenangan dalam aksi pertama pusingan kedua itu bukan sahaja menyaksikan Black Panthers membalas dendam kekalahan 0-2 kepada pendahulu liga itu dalam aksi pusingan pertama pada 14 Oktober lalu, tetapi dalam masa sama berjaya merampas semula kedudukan teratas STL Premier.

Kedua-dua pasukan terikat dengan 16 mata selepas 10 perlawanan tetapi Penang Black Panthers mempunyai kelebihan pungutan mata set.

Dalam aksi berlangsung di Gem In Mall, Cyberjaya itu Black Panthers yang menurunkan regu utama mereka dalam kelibat Syahir Rosdi-Azlan Alias-Zaim Razali tidak berdepan masalah besar untuk menang set pertama 21-10.

Harapan untuk menyaksikan ATM Guardians kembali dengan permainan lebih kemas di set kedua berkecai apabila trio Hairul Hazizi Haidzir-Norfaizzul Razak-Ab Muhaimi Che Bongsu dilihat bergelut untuk mengembalikan serangan dan servis bertenaga Syahir.

Malah mereka melakukan beberapa kesilapan mudah sebelum tewas 11-21 sekaligus menjadi kekalahan kedua ATM Guardians musim ini.

“Ianya satu yang positif untuk memulakan pusingan kedua dengan kemenangan, kami tewas dua kali dalam pusingan pertama termasuk kepada ATM sendiri. Mungkin sebab kami terlalu bersikap sambil lewa, kami terlupa pasukan-pasukan lain semuanya mahu tewaskan Black Panthers.

“Jadi jurulatih ingatkan balik supaya kami tidak terbuai dan kembali kepada prestasi yang ditunjukkan dulu. Lagipun, saya dan Azlan tidak berada dalam keadaan 100 peratus cergas.

“Setiap minggu kami berusaha keras mengembalikan ia ke tahap terbaik, syukur semuanya semakin bertambah baik,” kata Syahir yang menunjukkan antara permainan terbaiknya dalam perlawanan ini.

Jurulatih ATM Guardians Aswadi Abdullah pula akur pasukannya tewas kepada pasukan yang lebih baik dan menganggap ‘faktor Syahir’ sebagai salah satu punca kekalahan sambil menyatakan bahawa mereka tidak memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang diperoleh.

“Kita juga kurang menyengat ketika serangan dan kita merasai ketiadaan Afifudin (Razali) yang tidak dapat diturunkan kerana penggantungan (ISTAF). Dia antara tunjang utama pasukan ketika menang ke atas Black Panthers pada pusingan pertama dulu,” kata Aswadi.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kelantan Warriors mengakhiri saingan minggu keempat dengan dua kemenangan setelah membenam Perak Bison 2-1.

Regu Farid Aziz-Aidil Aiman Azwawi-Wan Naim Izani menang 21-19 pada set pertama tetapi kecundang 15-21 pada set kedua kepada trio Yus Hanif Rosli-Azwan Muhrim-Fadzil Mustapha sebelum mengesahkan kemenangan kelima Kelantan Warriors musim ini dengan menang 21-14 pada set penentuan.

Terengganu Turtles pula meneruskan kebangkitan mereka dengan menewaskan Selangor Pistons 2-0 (21-18, 21-13) manakala PDRM Defenders memastikan episod malang Melaka Titans berterusan dengan melakar kemenangan 2-0 (21-9, 21-16) ke atas juara Divisyen Satu 2017 itu.

 

- Advertisement -