Jurulatih skuad bawah 19 tahun kebangsaan, Bojan Hodak akan menyisihkan khidmat bintang muda sensasi, Akhyar Rashid bagi menyertai kem latihan pusat pasukannya pada awal bulan depan.

Bojan akan sekali lagi membawa skuadnya – kali ini skuad utama – untuk berlatih di Oman dari 1-10 Oktober depan sebagai satu daripada rangka persiapan beraksi di Kejuaraan AFC B-19 di Jakarta dari 18 Oktober – 4 November depan.

Namun Akhyar yang turut merupakan anggota skuad senior dan B-23 kebangsaan menurutnya terpaksa diketepikan susulan kecederaan pangkal paha dialami pemain Kedah itu.

“Kita belum tahu sejauh mana tahap kecederaannya, pakar perubatan di sini akan menilai dan menentukan berapa lama masa yang akan diambil untuk dia pulih. Dia mungkin tidak akan sertai skuad ke Oman dan menjalani pemulihan di sini,” katanya.

Pada awal September tempoh hari dia telahpun membawa skuad seramai 26 pemain rata-ratanya pemain barisan kedua beraksi beberapa siri perlawanan persahabatan di sana.

Jika Malaysia berhasrat melangkah jauh di Kejuaraan AFC yang menawarkan empat tiket beraksi di Piala Dunia B-20, perlu diakui kelibat Akhyar adalah cukup instrumental namun dalam masa sama Bojan bersedia untuk kehilangan tonggak utamanya itu.

“Kecederaan adalah sesuatu yang kita tidak dapat elakkan, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Saya perlu bersedia dengan apa sahaja kemungkinan dan mencari seseorang untuk menggantikannya andai dia tidak sempat pulih.

“Kami akan menghadapi tiga perlawanan yang sukar dan saya perlu pastikan semua pemain sudah bersedia kerana ini adalah kejohanan utama. Saya perlu mengatur latihan dan persiapan yang baik untuk membentuk persefahaman yang baik,” tambah bekas pengendali Kelantan dan Johor Darul Takzim itu.

Antara pemain lain di dalam skuad adalah Nik Akif Syahiran Nik Mat yang muncul wira dengan menjaringkan dua gol untuk menjulang Kejuaraan AFF B-19 di Indonesia pada Julai lalu serta pemain meningkat naik, Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Akhyar juga merupakan anggota skuad tersebut namun ketika itu kelibatnya hanya dapat digunakan ketika awal pertandingan dan terpaksa pulang awal kerana mengalami kecederaan bahu.

Di Kejuaraan AFC B-19 nanti, Malaysia telah diundi sekumpulan bersama Tajikistan, Arab Saudi dan China di dalam Kumpulan D.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -