piala.razak.2016.final

Oleh Muhammad Aiman

Jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM), Gurmeet Singh mungkin boleh dimaafkan seandainya dia memasang angan-angan awal untuk menjulang trofi saingan Divisyen Satu Kejohanan Hoki Piala Razak 2016 apabila pasukannya turun menentukan kejuaraan dengan menentang Terengganu dalam perlawanan akhir yang akan berlangsung Ahad.

Meskipun berstatus pendatang baru dalam saingan Divisyen Satu, PDRM tampil mencipta kejutan dalam penampilan sulung mereka dengan mara ke final setelah mengetepikan juara 2013 dan 2014, Perak di separuh akhir dan kini selangkah lagi untuk mencipta sejarah tersendiri.

Justeru Gurmeet tidak mahu langkahan PDRM yang muncul juara Divisyen Dua tahun lalu terhenti dengan sekadar bergelar finalis dan mahu barisan pemainnya menutup kempen kali ini dengan nota cemerlang bergelar juara.

“Kita tahu Terengganu diperkuatkan ramai pemain muda bermotivasi tinggi yang membentuk sebahagian besar pasukan mereka, manakala PDRM pula diperkuatkan pemain-pemain yang berpengalaman luas.

“Kehadiran tonggak kebangsaan seperti Razie Rahim dan Nabil Fiqri banyak membantu meningkatkan motivasi rakan sepasukan lain untuk menunjukkan satu prestasi yang cukup mengagumkan walaupun ini penampilan pertama di Divisyen satu. Kita tunjukkan permainan berkualiti ketika menewaskan Perak dan mereka bersedia untuk menampilkan satu lagi aksi cemerlang.

“Apa sekalipun, kita hormati kekuatan Terengganu dan penyokong boleh menjangkakan satu perlawanan yang menghiburkan esok,” ujar Gurmeet yang pernah menjadi penolong kepada jurulatih Terengganu, Sarjit Singh ketika di skuad kebangsaan pada 2007 dan 2008.

Dalam pada itu, Sarjit yang membawa Terengganu ke final setelah bergaya menyingkirkan juara bertahan, Melaka 4-0 di separuh akhir berpendapat barisan pemain mudanya mempunyai kualiti yang diperlukan untuk bergelar juara buat kali kedua setelah melakukannya pada 2012.

 “Saya gembira kerana pemain telah menunjukkan kesungguhan dan semangat tinggi untuk melepasi sasaran awal yang diletakkan iaitu separuh akhir. Kita mempertaruhkan sebuah skuad muda dan kini kita sudah berada di final, kita mahu menang, PDRM juga mahu menang jadi saya harapkan satu perlawanan yang berkualiti,” kata Sarjit.

Sandaran Terengganu, sudah tentunya keampuhan barisan serangan yang diketuai gandingan tiga ‘F’ – Faizal Shaari, Fitri Shaari dan Firhan Ashari yang dilihat cukup klinikal di depan gol. 

Sarjit turut menjelaskan bahawa 13 pemain skuad Terengganu adalah dari skuad SUKMA Terengganu dan mereka telah mendapat banyak tunjuk ajar dan bimbingan dari pemain senior dalam pasukan seperti Faizal, Fitri, Firhan, Hafizuddin Othman dan Shahiran Zali.

Perlawanan akhir PDRM dan Terengganu, akan berlangsung jam 8 malam Ahad, di Stadium Nasional Bukit Jalil.  

- Advertisement -