“Keadaan jentera saya kurang stabil ketika mengharungi perlumbaan akhir hari ini. Begitupun, saya tetap mencuba dan selepas tiga lap, ia mula menunjukkan peningkatan sehingga saya berjaya memberi saingan kepada pelumba di barisan hadapan.

“Namun, pada lap terakhir saya mendapati prestasi enjin kembali menurun dan saya gagal untuk memecut dengan kelajuan maksimum. Apa pun, saya tetap berbangga kerana berjaya menamatkan perlumbaan ini dengan kedudukan naib juara biar pun berdepan dengan kesukaran ketika mengharungi perlumbaan akhir itu tadi.”

Demikian jelas pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar yang sekali lagi hampa untuk bergelar juara pada aksi Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2020 di Litar Sepang Selatan hari ini.

Pada perlumbaan akhir kelas CP150 itu, Azroy sekadar menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan masa 14:15.978 saat (s).

Meskipun gagal menguasai perlumbaan tersebut, tetapi Azroy terus memperlihatkan prestasi konsisten selepas turut menjejak kaki di podium pada Pusingan 1 apabila menduduki tempat ketiga diikuti tempat kedua pada aksi di Tangkak minggu lalu.

Dia kini kekal menduduki kedudukan pertama dalam carta keseluruhan dengan mengumpul 56 mata.

Misi Azroy hari ini dihalang oleh pelumba pasukan Hi Rev SCK Hoinda Racing, Md Helmi Azman yang melakar kemenangan keduanya musim ini.

Ia merupakan kemenangan kedua buat Helmi di Sepang selepas melakukannya pada Pusingan 1 bulan lalu.

Helmi yang berjaya memintas Azroy pada detik-detik terakhir, menamatkan perlumbaan penuh dramatik itu dengan merekodkan masa 14:15.941s.

Pelumba asal Selangor ini berjaya menghuni tempat kedua dalam kedudukan keseluruhan dengan meraih 50 mata setakat ini.

Tempat ketiga perlumbaan akhir kelas premier itu berada dalam genggaman Md Akid Aziz yang menggalas cabaran pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor.

Akid yang muncul juara di Tangkak minggu lalu serta memulakan perlumbaan hari ini di petak hadapan, mencecah garisan penamat dengan catatan masa 14:15.983s.

“Serba tidak menjadi hari ini. Apa yang saya rancangkan tidak berjalan dengan baik, Begitupun, saya tetap berbangga kerana masih mampu menamatkan perlumbaan ini di atas podium kemenangan. Terima kasih kepada semua krew pasukan atas kerja keras mereka untuk menyediakan jentera terbaik buat saya mengharungi saingan di Pusingan 3 ini,” jelas Akid.

Akid kini berada di kedudukan ketiga keseluruhan dengan memungut 41 mata.

Sementara itu seperti dijangka, perlumbaan akhir kelas CP125 terus dikuasai pasukan ONEXOX TKKR SAG Team.

Pelumba pasukan tersebut, Md Hafiza Rofa tampil dalam kelas tersendiri untuk muncul juara dengan merekodkan masa 11:05.311s.

Seorang lagi rakannya, Md Shafiq Rasol yang muncul juara di Tangkak minggu lalu, menamatkan perlumbaan hari ini di kedudukan ketiga dengan masa 11:06.384s.

Tempat kedua menjadi milik Md Syafiq Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) yang merekodkan masa 11:06.609s.

Selepas perlumbaan hari ini, Shafiq Rasol terus mengukuhkan kedudukannya selaku pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 61 mata diikuti Syafiq Rosli (51 mata) dan Hafiza yang kini sudah mengumpul 41 mata.

Turut berada dalam genggaman pasukan ONEXOX SAG Team adalah gelaran juara untuk kategori Wira menerusi kemenangan yang dilakar oleh Md Aeiman Hafidz Shahril.

Aeiman menamatkan perlumbaan 7 lap itu dengan catatan masa 9:54.353s diikuti tempat kedua, Rahimi Nabil Razu (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) yang mencatat masa 9:54.375s.

Tempat ketiga perlumbaan akhir kelas Wira itu diraih seorang lagi pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing, Md Aqil Danial Nasrul dengan masa 9:54.465s.

Rahimi yang menjuarai perlumbaan Pusingan 1 di Sepang bulan lalu, kini menghuni kedudukan teratas dalam carta keseluruhan selepas mengumpul 53 mata.

Tempat kedua dihuni Aeiman dengan 38 mata diikuti Md Norhakim Norhafizullah (ONEXOX SAG Team) dengan 35 mata.

Selepas ini, Terengganu akan menjadi hos untuk aksi Pusingan 4 yang dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 19 September nanti.

Perlumbaan 3 – Kejuaraan PETRONAS Cub Prix 2020 

Keputusan Perlumbaan – CP150 

1. Mohd Helmi Azman (Honda) (Hi Rev SCK Honda Racing) 14’15.941s

2. Azroy Hakeem Anuar (Honda) (Idemitsu Honda Yuzy Racing) 14’15.978s

3. Mohd Akid Aziz (Yamaha) (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) 14’15.983s

4. Mohd Haziq Mohd Fairues (Yamaha) (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) 14’15.987s

5. Izam Ikmal Izamli (Honda) (Hi Rev SCK Honda Racing) 14’15.999s

Kedudukan pelumba CP150 

1. Azroy Hakeem Anuar (Honda) (Idemitsu Honda Yuzy Racing) 56 points

2. Mohd Helmi Azman (Honda) (Hi Rev SCK Honda Racing) 50 points

3. Mohd Akid Aziz (Yamaha) (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) 41 points

4. Mohd Khairul Ikhwan Ajis (Yamaha) (AHM Motorsports Yamaha Racing) 29 points

5. Mohd Muzakkir Mohamed (Yamaha) (ONEXOX TKKR SAG Team) 28 points

Keputusan Perlumbaan – CP125 

1. Mohd Hafiza Rofa (Yamaha) (ONEXOX TKKR SAG Team) 11’05.311s

2. Mohd Syafiq Rosli (Yamaha) (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) 11’06.384s

3. Mohd Shafiq Rasol (Yamaha) (ONEXOX TKKR SAG Team) 11’06.609s

4. Mohd Faiz Zekri Sabri (Yamaha) (ONEXOX SAG Team) 11’08.038s

5. Mohd Adib Rosley (Yamaha) (IPONE Yamaha YY Pang Racing Team) 11’08.076s

Kedudukan pelumba CP125

1. Mohd Shafiq Rasol (Yamaha) (ONEXOX TKKR SAG Team) 61 points

2. Mohd Syafiq Rosli (Yamaha) (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) 51 points

3. Mohd Hafiza Rofa (Yamaha) (ONEXOX TKKR SAG Team) 41 points

4. Mohd Syafieq Aiman Mohd Fauzi (Yamaha) (ONEXOX SAG Team) 35 points

5. Mohd Fareez Afeez Abd Rahman (Yamaha) (IPONE Yamaha YY Pang Racing Team) 30 points

Keputusan Perlumbaan – Wira 

1. Mohd Aeiman Hafidz Shahril (Yamaha) (ONEXOX SAG Team) 09’54.353s

2. Rahimi Nabil Razu (Yamaha) (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) 09’54.375s

3. Mohd Aqil Danial Nasrul (Yamaha) (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) 09’54.465s

4. Mohd Izzat Mohd Raduan (Yamaha) (ONEXOX SAG Team) 09’55.204s

5. Mohd Idlan Haqimi Raduan (Honda) (Idemitsu Kozi DFZ Yam Honda Racing) 09’55.225s

Kedudukan pelumba Wira

1. Rahimi Nabil Razu (Yamaha) (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) 53 points

2. Mohd Aeiman Hafidz Shahril (Yamaha) (ONEXOX SAG Team) 38 points

3. Mohd Norhakim Mohd Norhafizullah (Yamaha) (ONEXOX SAG Team) 35 points

4. Mohd Harith Haziq Zamri (Yamaha) (Castrol Power1 Racing Team) 34 points

5. Mohd Izzat Mohd Raduan (Yamaha) (ONEXOX SAG Team) 33 points

- Advertisement -