Penyokong Kelantan punyai 1001 sebab untuk kecewa dengan pasukan mereka musim ini – dari prestasi pasukan, sikap kurang matang presiden sehinggalah ke pelbagai isu luar padang, jelas semuanya menyakitkan hati mereka.

DI sebalik pelbagai cerita kurang enak, ada terselit sedikit khabar ceria apabila pemain muda meningkat naik, Danial Ashraf Abdullah dipanggil Tan Cheng Hoe untuk latihan pusat skuad kebangsaan bagi aksi persahabatan Malaysia menentang Fiji pada 5 Julai 2018.

Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu adalah aksi pertama daripada enam aksi persahabatan yang telah diatur Persatuan Bolasepak Malaysia sebagai persiapan skuad negara untuk beraksi di Piala AFF Suzuki 2018 dari 8 November hingga 15 Disember depan.

Meskipun pertama kali dipanggil memperkuatkan skuad senior, Danial sebelum ini pernah membarisi skuad B-23 kebangsaan bimbingan Dato’ Ong Kim Swee namun tersisih daripada kejohanan utama seperti Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Kejohanan B-23 AFC di China kerana masalah kecederaan.

Selain Danial, dua lagi wajah baru dalam skuad senior adalah penyerang Negeri Sembilan, N.Thanabalan dan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim yang dipanggil sebagai pengganti kepada penjaga gol PKNS FC, Shahril Saari yang tidak dapat disenaraikan kali ini kerana terlibat dengan aksi separuh akhir Piala FA.

Turut tidak dapat disenaraikan Cheng Hoe kerana terlibat dengan aksi Piala FA adalah dua lagi pemain PKNS iaitu Mahali Jasuli dan Jafri Firdaus Chew; dua pemain Pahang Mathew Davies dan R.Kogileswaran; penyerang Selangor Syahmi Safari dan penyerang PKNP FC, Shahrel Fikri Fauzi.

Lima perlawanan lain yang akan dihadapi oleh skuad negara selepas aksi menentang Fiji adalah menentang Taiwan di Taipei pada 7 September; Kemboja di Phnom Penh pada 11 September; Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober disusuli dua aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil menentang Republik Kyrgyz pada 16 Oktober dan Maldives pada 3 November. MUHD AIMAN 

Berikut senarai penuh 24 pemain menentang Fiji pada 5 Julai 2018 :
#JDT : Nazmi Faiz Mansor, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Hazwan Bakri La’vere Corbin Ong, Adam Nor Azlin, Aidil Zafuan Radzak; #PERAK : Hafizul Hakim, Shahrul Saad, Nazirul Naim, Amirul Azhan Aznan, Nasir Basharudin; #KEDAH : Ifwat Akmal, Rizal Ghazali, Akram Mahinan, Syazwan Zainon; #KL : Zaquan Adha Abd Radzak, Irfan Zakaria, Syazwan Andik Ishak; #FELDAUTD : Wan Zack Haikal, #MELAKAUTD : Khairul Fahmi Che Mat; #NS : N.Thanabalan; #KELANTAN : Danial Ashraf Abdullah; #SABAH : Rawilson Batuil

 

- Advertisement -