Pakar pecut Tudor Pro Cycling, Arvid de Kleijn memenangi Peringkat 1 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL) selepas menguasai pecutan beramai-ramai ke garisan penamat, hari ini.

Dalam peringkat sejauh 187.4km dari Kerteh itu, pelumba kelahiran Herveld, Belanda berusia 29 tahun yang diberi gelaran ā€˜Little Gorillaā€™ kerana kepantasannya ketika memecut, melintasi garisan penamat di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu dengan catatan 4 jam 25 minit 48 saat, menewaskan pelumba Human Powered Health, Sasha Weemaes dan pelumba Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa.

Dengan bonus 10 saat serta 15 mata pecutan di garisan penamat itu, De Kleijn turut menguasai jersi hijau PETRONAS selaku pendahulu keseluruhan (4j25.38s) dan jersi oren KBS untuk Raja Pecut.

Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) Muhammad Nur Aiman Zariff menceriakan peminat berbasikal tempatan apabila turut menaiki podium selepas memungut 3 mata dan menyarung jersi polka dot TOURISM MALAYSIA bagi Raja Bukit.

Pelumba Roojai Online Insurance dari Mongolia, Tegshbayar Batsaikhan juga berbangga menyarung jersi putih BEAUTIFUL TERENGGANU untuk Pelumba Terbaik Asia, selain diumum sebagai pemenang anugerah ā€˜Most Combative Awardā€™ tajaan BUBBLES 02 bagi Peringkat 1 itu.

Peminat berbasikal tempatan juga seharusnya berbangga apabila Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil yang menyarung jersi kebangsaan Malaysia menduduki tempat keempat manakala Mohd Harrif Saleh (TSG) di tempat ke-9, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki (TSG) di tangga ke-10 dan Zainal Zulhelmi (Malaysia) di turutan ke-12.

Namun, hari pertama jelajah edisi ke-27 LTdL ini, nyata milik De Kleijn yang mengotakan janjinya sebelum ini untuk merangkul satu kemenangan peringkat dalam penampilan pertama pasukan Tudor Pro Cycling di Malaysia.

ā€œAgak sukar pada mulanya kerana saya kehilangan beberapa rakan sepasukan dan mengambil keputusan mencelah ke kelompok depan dari tepi dan kekal fokus. Sengit ketika pecutan terakhir tetapi saya yakin boleh menang kerana saya mempunyai daya pecut berbanding pelumba lain.

ā€œKemenangan hari ini memberikan keyakinan untuk saya menang lagi selepas ini,ā€ katanya yang turut gembira dengan jersi hijau PETRONAS selaku pendahulu yang akan disarung pada Peringkat 2, Kuala Terengganu-Kota Bharu sejauh 186.2km esok.

Ia adalah kemenangan peringkat kali kelima De Keijln pada musim ini selepas masing-masing satu peringkat di Deutschland Tour; ZLM Tour; Boucles de la Mayenne-Credit Mutuel; dan Milano-Torino.

Bagi Aiman Zariff pula, perancangannya memungut mata di zon pendakian (KOM) berhasil apabila turut berada dalam kelompok kecil 4 pelumba yang membuat pemecahan awal selepas zon pecutan pertama di Dungun.

KOM kategori 4 pertama dikuasai Aiman di Jerangau tetapi Batsaikhan meloloskan diri secara solo selepas itu menyebabkan pelumba TSG itu terpaksa berpuas hati dengan 1 mata di zon pendakian kedua di Sekayu.

ā€œMemang ini strategi saya, untuk mengutip mata di dua zon pendakian ini. Saya juga mahu menyimpan tenaga untuk Peringkat 3 yang lebih mencabar nanti,ā€ kata pemenang jersi Raja Bukit dua edisi berturut-turut itu.

Selepas Batsaikhan ditangkap oleh peloton yang diterajui pasukan EF Education-EasyPost; Bolton Equities Black Spoke dan Caja Rural Seguros-RGA pada 40 kilometer terakhir di bawah cuaca hujan agak lebat, barulah peloton bergerak laju menghampiri Kuala Terengganu dan De Kleijn mempamer daya henjutan padunya untuk memenangi Peringkat 1 itu.

Peringkat 2 esok bermula di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu sejauh 186.2km dengan tiga zon pecutan di Bukit Nenas (Km34.6); Bandar Permaisuri (Km87.4) dan Peringat (Km173.2km) serta dua zon pendakian KOM4 di Setiu (Km49.3) dan Pelong (Km56.8) sebelum perlumbaan tamat di depan AEON Mall, Kota Bharu.

Dengan tema ā€˜Beat The Heatā€™ PETRONAS LTdL 2023 sejauh 1,278.1km berstatus ProSeries tahun ini dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

- Advertisement -