Dari kiri – Nicholas Damini, Anuar Manan, M. Kumaresan, Andrea Guardini and Szymon Sajnok

Sama ada kemenangan peringkat mahupun kedudukan individu keseluruhan, semua pelumba dari 22 pasukan yang akan bersaing dalam edisi ke-23 Le Tour de Langkawi 2018, Ahad ini, menyatakan keyakinan mereka untuk menghasilkan keputusan positif.

Bermula dengan Peringkat 1 dari Kangar ke Kulim, Gerik-Kota Bharu, Kota Bharu-Kuala Terengganu, Dungun-Pekan, Bentong-Cameron Highlands, Tapah-Tanjung Malim, Nilai-Muar hinggalah Peringkat 8 dan terakhir Rembau-Kuala Lumpur, masing-masing sudah membuat percaturan untuk menguasai peringkat landai dan berbukit yang menanti di laluan pada edisi kali ini.

Peringkat landai pastinya akan menyaksikan persaingan sengit dengan tumpuan menjurus kepada pemegang rekod 22 peringkat dalam LTdL iaitu Andrea Guardini yang beraksi bersama pasukan profesional benua baru, Bardiani-CSF.

“Bersama pasukan baru yang cukup lama dari Itali sendiri, saya mendapat semangat baru dan akan cuba menghadiahkan kemenangan di beberapa peringkat untuk mereka kerana saya sendiri hampir dua tahun tidak menang sebarang peringkat.

“Kami datang ke LTdL untuk menghasilkan keputusan yang baik supaya ia menjadi motivasi buat kami terutama selepas mendapat undangan bersaing dalam Giro d’Itali tahun ini,” kata pelumba kelahiran Tregnago, Itali yang mencipta nama dengan lima kemenangan peringat dalam penyertaan pertamanya di LTdL 2011.

Pelumba yang kini berusia 28 tahun itu bagaimanapun mengakui ada ramai pencabar yang mampu memintasnya dalam henjutan terakhir ke garisan penamat nanti, seperti pakar pecut muda dari CCC Sprandi Polkowice, Szymon Wojciech Sajnok yang muncul juara dunia acara Omnium di Kejohanan Trek Sedunia di Appledorn, Belanda baru-baru ini, selain dua pakar pecut Malaysia, Anuar Manan (Forca Amskins) dan Hariff Salleh (TSG).

Anuar sendiri mengakui bersama pasukan baru Forca Amskins selepas menamatkan kontrak dengan TSG bermaknadia memikul tugas yang lebih besar untuk menghasilkan keputusan baik buat pasukan yang baru ditubuhkan itu.

Pelumba tunggal Malaysia yang bergelar pemenang peringkat dalam LTdL itu apabila menguasai Peringkat 5 LTdL 2010 , sekaligus memenangi jersi Raja Pecut, berkata biarpun baru dan akan bertanding di pentas tinggi buat kali pertama, Forca sudah mendapatkan pelumba yang berkaliber untuk membantunya.

“Kami juga menyertai beberapa perlumbaan tempatan dan mengadakan kem latihan pusat. Sasaran Forca ialah sekurang-kurangnya satu peringkat manakala tiga pakar mendaki (Alvaro Duarte, John Ebsen dan Saufi Mat Senan) akan memberi cabaran dalam perebutan jersi kuning.

“Malah tidak mustahil akan ada pelumba tempatan yang menang peringkat sekiranya kami dapat bekerjasama dan saling membantu,” kata Anuar yang berharap Forca dapat membuka mata ramai dalam penubuhan tahun pertamanya pada 2018 ini.

Sementara itu, perebutan jersi kuning individu keseluruhan pastinya tertumpu kepada dua pelumba Dimension Data, Mekseb Debesay dan Nicholas Dlamini.

Debesay menduduki tangga kelima keseluruhan pada edisi lalu dan mendapat sokongan juara Raja Bukit Tour Down Under 2018, Nicholas Dlamini yang tampil buat pertama kali dalam saingan LTdL.

“Saya mendengar banyak cerita mengenai jelajah ini dan ia kegemaran bagi pelumba dari Afrika dan Eropah. Dengan kejayaan di Tour Down Under, saya harap dapat memberi cabaran dan membantu rakan sepasukan dalam klasifikasi individu dan berpasukan.

“Walaupun tanpa pakar pecut handalan, kami berharap turut memberi saingan dalam pecutan terakhir nanti. Memang ada sedikit tekanan tetapi kami akan tanganinya hari demi hari, peringkat demi peringkat,” kata pelumba kelahiran Afrika Selatan berusia 22 tahun itu.

LTdL 2018 akan bermula dengan majlis pengenalan pasukan di Dataran Lang, Langkawi pada sebelah malam ini sebelum pelumba dan pasukan berpindah ke Kangar, esok untuk memulakan saingan Peringkat 1 pada Ahad.

Sejumlah 22 pasukan yang terdiri daripada pasukan WorldTour, Pro Benua, Benua dan pasukan kebangsaan mengesahkan penyertaan dalam edisi LTdL 2018 yang meliputi jarak keseluruhan 1,341km, melibatkan lapan negeri negeri di Semenanjung Malaysia.

Jelajah LTdL berstatus 2.HC dianjurkan Ciclista Sports dengan kerjasama penuh Kementerian Belia dan Sukan.

- Advertisement -