PELUMBA Terengganu, Saniy Syahmi Mohd Safiee merangkul emas peribadi keduanya apabila memenangi saingan MTB Downhill lelaki Sukan Malaysia Ke-20 (Sukma XX) di Taman Cabaran Putrajaya, hari ini.

Pelumba kebangsaan berusia 21 tahun yang memenangi emas acara 350 meter BMX Ahad lalu, menyimpan tenaganya untuk menangani laluan sejauh 1.1km itu pada acara final dengan catatan 1 minit 23.342 saat, mengatasi rakan senegeri, Amer Akbar Anuar (1:25.168s) dan pelumba Sarawak, Mohd Faris Mohd Nashari (1:29.695a).

Pada sebelah pagi, Mohd Faris muncul terpantas dalam sesi ujian masa rasmi dengan catatan 1:25.537s tetapi Saniy yang sekadar melakukan 1:26.071s, tampil lebih pantas pada kayuhan final itu.

Ia sekali gus membolehkannya pulang dengan 2 emas pada temasya kali ini, selepas sekadar gangsa pada Sukma 2016 dan perak pada Sukma 2018.

Sementara itu, dalam acara wanita, Eddyna Nasuhar Zainal Abidin memastikan sebutir emas lagi buat Terengganu apabila muncul terpantas dengan masa 1:32.848s.

Dia yang mencatat 1:34.386s pada sebelah pagi , menewaskan Siti Natasha Mohd Basri dai Selangor (1:38.707s) dan pelumba Pahang, Nia Vanessa Suhana Zaidi (1:40.367s).

- Advertisement -