Ng Eain Yow

Oleh Muhammad Aiman

Tidur Ng Eain Yow akhirnya lena, pemain remaja kebangsaan itu ibarat terbang tinggi di awangan setelah merealisasikan impian bergelar juara remaja dunia pada penampilan terakhirnya di Kejohanan Remaja Dunia, Poland awal pagi Jumaat.

Setahun pemain berusia 18 tahun itu bekerja keras bangkit dari kekalahan di separuh akhir kepada Diego Elias di Eindhoven, dan mempersiapkan diri untuk meraikan detik ini sekaligus membuktikan dengan kesungguhan dan determinasi tinggi, dunia tidak sukar untuk ditawan.

Manisnya kejayaan Eain Yow, kemenangan dalam pertarungan sengit empat set 11-3, 9-11, 11-4, 11-5 ke atas pilihan utama kejohanan, Saadeldin Abouaish dari Mesir di Bielsko-Biala turut menoktahkan penantian 18 tahun Malaysia untuk menjulang gelaran remaja dunia bagi kategori lelaki.

Kali terakhir Malaysia bergelar juara remaja dunia adalah menerusi Ong Beng Hee yang muncul pemenang setelah menundukkan Wael El Hindi di Princeton, Amerika Syarikat pada 1998 dan sejak itu hanya Ivan Yuen paling hampir untuk melakukannya apabila tewas di final 2009.

Kemenangan itu turut menyaksikan Eain Yow membalas dendam kekalahan kepada Saadeldin di separuh akhir Terbuka Remaja British pada Januari lalu.

Pemain di ranking ke-144 dunia itu selepas ini akan mengetuai pula cabaran negara dalam acara berpasukan yang akan bermula lewat hari ini, dengan Malaysia berada dalam Kumpulan F bersama-sama Afrika Selatan, Sepanyol dan Amerika Syarikat.

Terdahulu, pemain nombor lima dunia yang juga pilihan utama, Nouran Gohar dari Mesir tidak berdepan masalah menewaskan rakan sepasukan, Rowan El Araby 11-5, 11-6, 11-7 di final untuk muncul juara kategori wanita sekaligus mempertahankan kejuaraan dimenanginya tahun lalu.

- Advertisement -