Gavin Green of Malaysia

Oleh Muhammad Aiman

Skrip pasukan memanah nampaknya akan dituruti oleh pemain golf negara tatkala hasrat untuk melihat aksi bertenaga dua pemain kebangsaan Danny Chia dan Gavin Kyle Green di pentas Olimpik tidak kesampaian sebaliknya sekadar disajikan aksi hambar. 

Dua pemain negara itu mencatat permulaan kurang meyakinkan dengan melakukan dua di atas par 73 untuk berkongsi kedudukan ke-42, bersama-sama enam lagi pemain selepas tamat pusingan pertama di Lapangan Golf Olimpik Rio De Janeiro awal pagi Jumaat.

Keputusan itu sekaligus menyaksikan mereka ketinggalan 10 pukulan di belakang pendahulu Marcus Fraser dari Australia, yang melakukan catatan lapan di bawah par 63 dan memerlukan aksi luar biasa di pusingan seterusnya jika berhasrat memperbaiki kedudukan.

Untuk rekod, hanya 60 pemain sahaja layak beraksi di pertandingan golf Olimpik, yang kembali dipertandingkan di temasya sukan terbesar dunia itu selepas 112 tahun dengan kesemua mereka akan beraksi dalam semua empat pusingan, memandangkan format pertandingan menyaksikan tiada ‘cut-off’.

Golf di Olimpik bagaimanapun hilang sedikit kemeriahannya setelah 18 pemain, termasuk tujuh pemain di kedudukan 10 terbaik dunia antaranya Jason Day, Dustin Johnson, Jordan Spieth, Rory Mcllroy, Vijay Singh dan Adam Scott menarik diri kerana pelbagai kebimbangan seperti virus zika, ketidaktentuan politik dan ancaman keselamatan.

- Advertisement -