Economic Control Programme (ECP) yang akan bermula pada musim 2020 sama sekali tidak akan menghalang kebanyakan pasukan bagi mendapatkan pemain berkualiti termasuk pemain import sekiranya pihak pengurusan bijak membuat perancangan lebih teliti dan tersusun.

Pengurus Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, beliau tidak bersetuju pemain yang dibayar dengan gaji mahal akan menjanjikan kejayaan sebaliknya bergantung kepada banyak aspek.

Jelasnya, sepanjang menguruskan PKNS FC sebelum dilantik menjadi pengurus Selangor bermula musim 2020, apa yang perlu dilihat kepada seseorang pemain itu ialah prestasi semasa serta keupayaan mereka menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan.

“Pelaksanaan ECP bagi saya tidak menghalang pasukan mendapatkan pemain yang baik terutama tenaga import kerana saya sentiasa percaya pemain yang kosnya agak mahal belum tentu menjanjikan kejayaan.

“Apa paling penting sebenarnya bagaimana pemain itu boleh sesuaikan diri dengan falsafah permainan jurulatih dan prestasi terkini kerana ada kalanya pemain yang mempunyai nama hebat atau beraksi di liga hebat tetapi kurang minit permainan serta ada masalah kecederaan berpanjangan.

“Malah adanya ECP ini juga bagi saya membuatkan pasukan akan berhati-hati dalam menggaji mana-mana pemain serta tidak bertindak melulu seperti sebelum ini.

“Malah jika ada pemain yang mereka memang ingin dapatkan kosnya agak tinggi, mungkin mereka perlu bekerja keras mendapatkan tambahan dana dengan melakukan aktiviti tambahan pendapatan selepas meletakkan satu bajet yang ditetapkan dari awal musim,” katanya.

Pandangan sama turut diutarakan Setiausaha Agung Felda United Football Club (FUFC), Afizal Abu Othman, yang akui mereka tidak berdepan sebarang masalah dapatkan pemain tempatan atau import berkualiti jika lakukan perancangan lebih awal.

Tambahnya, keputusan mendapatkan pemain terutama tonggak import di saat akhir sebelum jendela perpindahan ditutup sering kali membuatkan kebanyakan pasukan ditekan dengan harga yang tinggi bagi mendapatkan pemain tersebut.

“Bagi saya alasan ECP akan membantutkan pasukan dapatkan pemain berkualiti adalah tidak sesuai malah saya rasakan ini adalah satu pendekatan sistematik serta tersusun dalam soal perancangan kewangan sejak di awal musim.

“Malah kami di Felda United telah meletakkan satu bajet tertentu sejak tamat saingan musim lalu dan telah membuat perancangan mendapatkan pemain berdasarkan perbelanjaan yang kami ada tetapi tidak dilupakan soal kualiti.

“Ini termasuk soal pemain import dan kami cukup berhati-hati dalam soal ini, kami tidak mahu lakukan kerja di saat akhir yang mungkin membuatkan perbelanjaan pasukan boleh melebihi daripada apa dirancangkan, “ katanya.

MFL telah memperkenalkan ECP bagi musim 2020 yang dilihat bakal menjadi formula terbaik buat pasukan Liga Malaysia dalam usaha menangani masalah bebanan hutang khususnya tunggakan pembayaran gaji pemain, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

ECP yang sebelum ini telah dipratikkan di LaLiga Sepanyol mampu mendidik pasukan Liga Malaysia berbelanja lebih berhemah di mana kesemua pasukan diwajibkan mengemukakan pelan perbelanjaan dan pendapatan bagi musim 2020 sebelum boleh mendaftarkan pemain.

- Advertisement -