Elak provokasi, jaga disiplin dan jaga hubungan persaudaraan di antara rakyat dua negara.

Itu permintaan serta nasihat dari ketua jurulatih skuad bolasepak Malaysia, Dato’ Ong Kim Swee dan juga penolong jurulatih Indonesia, Bima Sakti menjelang pertembungan separuh akhir bolasepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di antara kedua-dua pasukan di Stadium Shah Alam malam esok (26 Ogos).

Perlawanan berprofil tinggi itu antara dua musuh tradisi itu dijangka disaksikan lebih 70,000 penyokong termasuk 10,000 penyokong Indonesia justeru Kim Swee berkata sebarang isu atau pertikaian lain di luar padang harus diketepikan bagi mengelakkan terjadinya perkara tidak diingini. 

“Penyokong yang hadir ke stadium, berikan sokongan kepada pasukan bolasepak anda. Ianya akan menjadi satu perlawanan yang menarik dan sengit, kita mahu semua terhibur baik penyokong Malaysia mahupun Indonesia jadi berikan motivasi agar kami bermain dengan baik.  

“Bolasepak bukan tempat kita mencari musuh atau memberi impak-impak negatif, jadi jaga tingkahlaku, kawal emosi, kita tidak mahu masalah sama ada sebelum atau selepas perlawanan, itu tidak menguntungkan sesiapa,” ujar Kim Swee.

Pendapat sama dikongsi Bima, “Saya pasti ini perlawanan yang cukup ditunggu-tunggu, Malaysia dan Indonesia punyai tradisinya tersendiri. Penyokong sudah tentunya bersemangat tetapi dalam masa sama tolong jaga kerukunan, jaga persaudaraan sesama kita kerana kita berjuang atas nama bolasepak bukan sebab lain.”

Sebelum ini, rakyat Indonesia tidak berpuas hati dengan kesilapan bendera negara itu dicetak terbalik dalam buku cenderamata yang diedarkan bersempena Majlis Perasmian Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada 19 Ogos lalu.

Namun isu itu sudah diselesaikan dengan baik antara kedua-dua negara apabila Menteri Belia dan Sukan, Brig Jeneral Khairy Jamaluddin bertemu dengan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi bagi menyampaikan surat permohonan maaf dari pihak penganjur KL2017. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -