Juara Sepaktakraw League (STL) Premier, Penang Black Panthers mendahului senarai empat pasukan yang mengesahkan tiket beraksi separuh akhir STL Champions Cup setelah berakhir aksi peringkat kumpulan pada Ahad.

Black Panthers mara dengan penuh bergaya selaku juara Kumpulan A dengan rekod bersih tiga kemenangan ‘straight’ set setelah regu mereka, Fazil Asri-Farhan Adam-Azlan Alias mudah membenam regu Andalas Islander 2-0 (21-7, 21-13).

“Ianya bagus untuk menang ketiga-tiga perlawanan (peringkat kumpulan) dengan straight set, pemain-pemain nampak yakin dan enjoy bermain. Kita mahu momentum sama diteruskan minggu depan dalam separuh akhir dan dapat melangkah ke perlawanan akhir.

“Apa sekalipun saya ingatkan pemain agar tidak terlalu yakin kerana Kelantan Warriors bukan calang-calang, mereka bangkit dan sudah menemui rentak kemenangan. Walaupun kita dalam prestasi terbaik, prestasi pada hari perlawanan itu akan menjadi penentu, jadi kita perlu berhati-hati,” kata jurulatih Black Panthers, Helmi Ismail.

Lawan mereka di separuh akhir, Kelantan Warriors layak selaku naib juara Kumpulan B setelah gandingan Hisyam Mat-Naim Izani Noor-Aidil Aiman Azwawi menewaskan trio PDRM Defenders, Hairul Kaz Oto-Nazri Hafiz-Hafiz Izudin Wahab dengan keputusan 2-0 (21-17, 21-9).

Begitupun, Kelantan Warriors perlu berterima kasih kepada Manang City Voyagers yang mengetepikan tentangan Kuala Lumpur Thunder 2-1 (21-18, 14-21, 21-14) dalam aksi terakhir.

Kemenangan itu membolehkan Manang City yang hanya membawa tiga pemain iaitu Pornthep Tinbangbon, Yotsawat Uthaijaronsri dan Wuttichai Daorueangnoi muncul juara Kumpulan B dengan tiga kemenangan dan akan bertemu Perak Bison dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Peak Bison muncul naib juara kumpulan A dengan penuh dramatik setelah regu gandingan Meor Zulfikar Mat Amin-Izham Idris-Fadzil Mustafa menewaskan trio Melaka Titans, Sahidan Ali-Zarlizan Zakaria-Khairol Zaman Hamir Akhbar 2-1 (17-21, 21-15, 25-24) dalam aksi sengit berlangsung 90 minit.OLEH MUHD AIMAN 

Keputusan (26 November) :

Kumpulan A : Penang Black Panthers mng Andalas Islander (2-0; 21-7, 21-13); Perak Bison mng Melaka Titans (2-1; 17-21, 21-15, 25-24)

Kumpulan B : Manang City Voyagers mng Kuala Lumpur Thunder (2-1; ); Kelantan Warriors mng PDRM Defenders (2-0; 21-17, 21-9)   

- Advertisement -