Sukan permotoran , Formula 1 berkemungkinan akan diteruskan meskipun suasana pandemi Covid 19 masih belum menampakkan sebarang petanda bakal reda ketika ini.

Pengarah Urusan F1, Ross Brawn berkata, musim 2020 akan berlangsung di Eropah dan berkemungkinan besar akan diadakan secara tertutup.

Penundaan sembilan perlumbaan termasuk GP Kanada yang dijadual berlangsung pada 14 Jun tampak meresahkan pengurusan F1, malah tidak mustahil dibatalkan jika Covid 19 masih belum menunjukkan tanda tanda bakal reda.

Brawn dan kesemua pengurusan tertinggi F1 dijangka akan meneruskan musim 2020 dan sedang mencari jalan untuk mempromosi dan menyusun semula jadual perlumbaan sebaik mungkin.

Tidak mustahil beberapa perlumbaan bakal berlangsung tanpa kehadiran penonton dan FIA juga akan berusaha untuk memberikan yang terbaik buat penonton setia.

“Perjalanan dan pergerakan pasukan pasukan yang terlibat adalah masalah utama yang perlu dititik berat.

“Pandangan kami mungkin perlumbaan akan diteruskan di Eropah sebagai pilihan dan berkemungkinan akan diadakan secara tertutup tanpa kehadiran penonton,”

Tambah Brawn lagi, 18 atau 19 perlumbaan Formula 1 mungkin disambung ke Julai tahun ini.

Cadangan yang ada ketika ini andai diadakan pada Julai adalah tiga perlumbaan berlangsung dan minggu keempat adalah waktu rehat namun cabaran utama yang perlu ditangani adalah logistik.

“Lapan perlumbaan adalah jumlah minimum untuk menentukan gelaran juara dunia berdasarkan statut FIA. Kita boleh mencapai lapan perlumbaan jika ia bermula pada Oktober,”

Beliau juga menjangkakan perlumbaan berkemungkinan juga untuk dimulakan kembali pada Januari namun lebih banyak cabaran yang perlu ditempuh.

 

 

- Advertisement -