PESILAT Pahang, Faiz Aniq Fazli menutup gelanggang pencak silat dengan sebutir emas kategori Bebas 85kg di Sukan Malaysia Ke-23 (Sukma XX) di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Islam Sains Malaysia (USIM), hari ini.

Atlet kelahiran Temerloh itu menewaskan dari Wilayah Persekutuan, Nazreen Ahmad Imran dengan keputusan 56-10 pada perlawanan akhir.

“Berbaloi kerana banyak pengorbanan saya lakukan untuk memastikan pingat emas ini. Saya terpaksa menangguhkan sementara pengajian di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) sejak 2021 serta pelbagai rintangan ketika wabak Covid-19 melanda.

“Saya tetap berlatih tetapi mungkin terpaksa menurunkan berat badan selepas ini kerana kelas (Bebas) ini tidak begitu sesuai,” kata penuntut jurusan Sains Sukan itu.

Sementara itu, pemenang pingat emas Sukan SEA Vietnam tetapi tewas di Kejuaraan Silat Sedunia di Melaka, baru-baru ini, Muhammad Khairi Adib Azhar gembira dapat menebus kehampaannya.

Dia nyata melepaskan geramnya apabila menang ke atas wakil Pulau Pinang, Mohamad Ridzuan Abdullah 49-6 pada pertandingan akhir.

“Ini emas pertama dan Sukma terakhir saya. Tetapi perjalanan saya masih jauh dan mahu kekal dalam skuad kebangsaan dan memberi yang terbaik,” katanya yang akan tampil di Kejuaraan Pencak Silat Kebangsaan di Johor, November ini.

Silat menutup gelanggang dengan Terengganu muncul juara keseluruhan dengan 5 emas 4 perak dan 4 gangsa, diikuti Kedah (5-2-4), WP (3-4-6) dan Pahang (2-5-6).

- Advertisement -