Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin telah bertemu Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican secara santai di kediaman Menteri Belia & Sukan yang baharu itu di Shah Alam, malam tadi.

Datuk Haji Hamidin dan Dato’ Sri Reezal Merican sebenarnya sudah lama saling mengenali di antara satu sama lain dan hubungan yang terjalin itu pastinya akan terus bertambah erat selepas Ahli Parlimen Kepala Batas itu kini dilantik untuk menerajui Kementerian Belia & Sukan (KBS).

Menurut Datuk Haji Hamidin, pertemuan santai itu bukan saja membincangkan hal-hal berkaitan bola sepak, malah Dato’ Sri Reezal Merican turut mahu mendapatkan input serta pandangan daripada beliau berkaitan sukan di Malaysia secara umumnya.

“Nampaknya pada hari pertama selepas Dato’ Sri Reezal Merican mengangkat sumpah jawatan menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, beliau sudah memulakan kerja dengan mahu mendapatkan input berkaitan sukan apabila kami bertemu di rumahnya, malam tadi.

“Dato’ Sri Reezal Merican nampak begitu meminati sukan dan beliau bersikap cukup terbuka untuk bertukar pendapat serta mendengar pandangan daripada saya. Malah beliau ingin mengetahui segalanya tentang bola sepak dan sedikit sebanyak sudah saya terangkan kepada beliau.

“Saya melihat kehadiran Dato’ Sri Reezal Merican sebagai Menteri Belia & Sukan yang baharu ini sebagai sesuatu yang cukup positif untuk sukan negara,” kata Datuk Haji Hamidin.

Dato’ Sri Reezal Merican pada Isnin, 9 Mac 2020 telah diumumkan sebagai Menteri Belia & Sukan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia & Sukan.

Sementara itu, Dato’ Sri Reezal Merican berkata, beliau cukup gembira kerana memiliki Datuk Haji Hamidin sebagai salah seorang pemimpin persatuan sukan di bawah kementeriannya ini, sekali gus yakin kerjasama erat mampu dibentuk di antara KBS dan juga FAM pada masa akan datang.

“Datuk Haji Hamidin telah memberikan input yang cukup berguna kepada saya, bukan saja berkaitan bola sepak, malah sukan-sukan lain kerana saya tahu beliau seorang yang cukup berpengalaman iaitu sudah berada dalam landskap sukan negara hampir selama 30 tahun.

“Bagi bola sepak, saya gembira melihat bola sepak negara kita semakin menunjukkan perkembangan positif sejak kebelakangan ini dan adalah menjadi harapan saya sebagai Menteri Belia & Sukan untuk melihat bola sepak kita akan terus meningkat maju ke tahap yang lebih cemerlang di pentas antarabangsa.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya akan pastikan ia akan dapat direalisasikan,” kata Dato’ Sri Reezal Merican.

- Advertisement -