affandi (2)

Oleh Muhammad Aiman

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meluangkan masa lebih jam untuk membentang dan membincangkan mengenai ‘formula’ baru yang bertujuan merubah masa depan bolasepak negara kepada barisan exco Persatuan Bolasepak Malaysia diketuai Timbalan Presiden, Dato’ Seri Affandi Hamzah pada Khamis.

Namun tiada sebarang kata putus dicapai dengan Khairy menjelaskan sebarang keputusan hanya akan dimaklumkan sendiri oleh FAM setelah Mesyuarat Exco badan induk itu pada 15 Ogos depan.

“Pertemuan dengan saya bukan satu mesyuarat rasmi, hanya mesyuarat rasmi (pada 15 Ogos) boleh buat keputusan. Saya telah memberi cadangan dan minta mereka bentangkan, dan buat keputusan.

“Ini melibatkan kepimpinan sendiri, halatuju dan penglibatan semua pihak dalam masadepan bolasepak negara. Spesifiknya akan diumumkan FAM, penting untuk mereka buat keputusan sendiri saya hanya memberi cadangan.,” kata Khairy.

Ditanya mengenai intipati ‘formula’ yang dicadangkan, sama ada ianya berkait dengan siapa yang akan mengambil alih kepimpinan FAM, Khairy bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut sebaliknya berkata, “Saya harap kita akan dapat melihat semua pihak terlibat dalam memacu pembangunan bolasepak kita, dan ada satu kepastian dalam kepimpinan.

“Semua sedia maklum, presiden (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) telah menyatakan hasrat mahu bersara dari FAM. Kita perlu ada perlu untuk terus pandang ke depan. Saya telah cadangkan kepada mereka satu garis masa. Itu akan dibincangkan.”

“Tidak ada siapa pun yang boleh buat keputusan atau mengatakan siapa yang akan jadi presiden baru. Itu keputusan berdasarkan perlembagaan, siapa sahaja yang akan ambil alih akan ditentukan oleh perlembagaan, melalui satu proses demokratik iaitu kongres dan pemilihan.”

Sementara itu, Affandi yang diminta mengulas pertemuan dengan Khairy pula berkata, “Buat masa ini, kita tidak boleh mendedahkan apa isi perbincangan, saya harap semua bersabar. Apapun, ia satu perjumpaan yang bermanfaat, untuk kebaikan kita bersama, mencari jalan untuk terus melangkah ke depan.

“Kita telah saling bertukar pandangan, dan hormati pandangan beliau. Tetapi oleh kerana pandangan itu lebih kepada satu permintaan, kita perlu perincikan dalam mesyuarat sebelum buat keputusan.”

- Advertisement -