PENDAKIAN getir berstatus Hors ke puncak Genting Highlands pada cabaran Peringkat 4 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 bukan sahaja menjanjikan saingan sengit perebutan jersi kuning serta juara keseluruhan, tetapi juga bakal menyerlahkan suasana pesta penuh
warna di sepanjang laluan ke puncak penamat setinggi 1650 meter di Resorts World Genting.

Terkenal dengan jolokan Queen Stage, pendakian ke Genting yang dijadualkan pada 10 Februari yang bermula dari Perkarangan Perbadanan Putrajaya menuju ke puncak Genting di Resorts World Genting pasti sesuatu yang ditunggu peminat dan penonton.

Bertempat di Kementerian Belia dan Sukan di sini, Genting Malaysia Berhad diperkenalkan sebagai Penaja Utama perlumbaan edisi ke 25 yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini.

Penajaan Genting Malaysia Berhad pada edisi kali ini merangkumi tajaan tunai dan barangan berjumlah RM 5 juta. Peringkat 4 dengan jarak 156.1 km dari Putrajaya ke Genting bakal memberi gambaran awal terhadap kemampuan sebenar pelumba dan pasukan dalam perebutan kejuaraan kesleuruhan.

Pada tahun lepas, pelumba Sapura Cycling, Benjamin Dyball dari Australia muncul sebagai juara peringkat di Genting sekaligus dinobat juara keseluruhan. Genting Highlands kembali disenarai pada tahun lalu tidak tersenarai selama empat tahun.

Syarikat berkenaan merupakan antara penaja paling lama dalam LTdL sejak 1996. Pendakian ke Genting cukup dinantikan kerana bakal menghimpunkan bukan sahaja peminat berbasikal, tetapi juga bakal menobatkan Raja Bukit (KOM) perlumbaan.

Ikatan kerjasama antara LTdL dan Genting Malaysia Berhad nyata menghasilkan banyak manfaat terhadap kedua-dua pihak dengan kejayaan Resorts World Genting menjadi hos LTdL sebanyak 19 kali dalam sejarah penganjurannya.

Majlis pengenalan penaja itu turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Human Voyage, Encik
Shahizereen A Hamid dan Naib Presiden Perhubungan Korporat & Komunikasi, Genting Malaysia Berhad, Dato’ Sri Kay Atisha Parasuraman.

Bersempena sambutan Jubli Perak tahun ini, Genting Malaysia Berhad turut memberi sumbangan bermakna apabila menjadi Penaja Utama bagi Perlumbaan KRITERIUM ANTARABANGSA MALAYSIA 2020 yang akan berlangsung di Kota Kinabalu pada 6 Februari.

Perlumbaan edisi sulung itu akan berlangsung di tengah bandar Kota Kinabalu merangkumi jarak 10km bagi setiap pusingan bagi jarak keseluruhan sejauh 90km.

Perlumbaan ini merupakan prelud sebelum bermula Peringkat 1 LTdL di Kuching berlangsung pada 7 Februari.

Perlumbaan kriterium berkenaan melibatkan penyertaan pelumba profesional Bawah 23 tahun yang memiliki lesen perlumbaan elit daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Kriterium Antarabangsa Malaysia yang disenarai dalam kalendar UCI Jelajah Asia merupakan program berbasikal yang mensasarkan pembangunan akar umbi di Malaysia.

Ia juga platform buat pelumba Malaysia dan rantau ASEAN untuk bersaing dengan pelumba pelumba elit dari serata dunia.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq berterima kasih dan menghargai memuji komitmen padu Genting Malaysia Berhad terhadap LTdL yang menyumbang kepada kejayaan besar jelajah berbasikal sejak pertama kali diadakan pada 1996.

“Kehadiran Resorts World Genting sebagai salah satu venue pada LTdL tahun lalu meningkatkan lagi reputasi perlumbaan.”

Sepanjang laluan mendaki menuju ke puncak Genting, ramai penonton dan peminat sukan akan berbaris di sepanjang jalan memberi sokongan kepada pelumba pelumba
sekaligus mewujudkan suasana perlumbaan yang menakjubkan.

“Saya menjangkakan suasana lebih meriah daripada orang ramai dan penonton tahun ini. LTdL 2020 akan dipancarkan secara langsung setiap hari selama 90 minit menerusi Eurosport2 dan Eurosports Asia Pasifik meliputi 60 buah negara. Saluran televisyen di China iaitu Hainan TV, Qinghai Satellite, dan Zhibo TV turut bersetuju untuk menyiarkan perlumbaan bagi meningkatkan lagi jumlah penonton,” kata YB Syed Saddiq.

Untuk rekod, Hainan TV mempunyai 650 juta penonton berdaftar sementara Hainan Satellite TV memiliki 700 juta penonton yang berdaftar. Perlumbaan ini juga akan dipublisitikan menerusi media sosial China, Weibo dan WeChat.

Sementara itu, Dato’ Sri Kay Atisha Parasuraman berkata, Genting Malaysia Berhad berbangga menjadi rakan kongsi jangka panjang perlumbaan berprestij LTdL yang kini berstatus ProSeries oleh UCI.

“Sebagai sebuah organisasi bertaraf dunia dengan operasi di serata dunia, Genting Malaysia Berhad berbangga untuk terlibat sama dengan acara ini. Kami komited untuk memastikan perlumbaan ini berjalan dengan jayanya terutama ketika menjadi hos bagi queen stage,” kata Dato’ Sri Kay Atisha
Parasuraman.

“Kami amat menantikan Peringkat 4 pada 10 Februari ini dan berharap orang ramai akan datang beramai-ramai ke Resorts World Genting untuk memeriahkan suasana perlumbaan. Selain menjadi hos bagi lokasi penamat, kami berharap para pelumba, penonton dan tetamu meluangkan masa untuk melihat dan menikmati kemudahan dan tarikan yang kami tawarkan, “katanya lagi.

Ketua Pegawai Operasi Human Voyage En. Shahaizereen A Hamid melahirkan rasa syukur kepada Genting Malaysia Berhad, dan berkata perkongsian diantara LTdL dan Genting Malaysia Berhad telah memberi manfaat kepada kedua-dua pihak untuk menarik minat peminat sukan berbasikal dan penonton untuk memeriahkan dan menghangatkan perlumbaan.

Bersempena sambutan ulang tahun LTdL tahun ini, Human Voyage juga menyediakan pelbagai aktiviti sampingan yang disediakan khas untuk tetamu dan penonton yang hadir di Genting,” kata En. Shahaizereen.

Seramai 132 pelumba daripada 22 pasukan dijangka menyertai PETRONAS Le Tour de Langkawi 2020 termasuk pasukan World Tour, Pro Benua dan Benua dari Eropah, Asia, Oceania, Afrika dan Amerika Syarikat .

Perlumbaan lapan peringkat ini dijadual berlangsung dari 6 hingga 15 Februari, meliputi jarak 1114.9km merentasi 9 negeri termasuk Sarawak, Terengganu, Pahang, Wilayah
Persekutuan (Putrajaya dan Kuala Lumpur) Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

- Advertisement -