Chan Peng Soon-Goh Liu Ying

Oleh Muhammad Aiman

Kesemua pasangan beregu negara – lelaki, wanita dan campuran – tidak bermasalah untuk melakar kemenangan kedua di peringkat kumpulan seterusnya mengesahkan tempat di suku akhir pertandingan badminton Sukan Olimpik Rio De Janeiro.

Namun, setelah dua aksi pembukaan yang mudah, cabaran sebenar baru sahaja bermula buat gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang akan berdepan lawan lebih kuat pada perlawanan terakhir untuk menentukan juara kumpulan.

V Shem dan Wee Kiong yang melakar kemenangan pertama dengan menewaskan  gandingan Michael Fuchs-Johannes Schoettler dari Jerman pada Khamis, meneruskan langkahan cemerlang dengan menundukkan Sattawat Pongnairat-Philip Chew 21-12, 21-10 hanya dalam masa 22 minit.

Namun, gandingan nombor 13 dunia itu akan berdepan dengan pilihan keempat Fu Haifeng-Zhang Nan dari China dalam aksi terakhir penentuan juara kumpulan dan perlu memenangi perlawanan itu jika berhasrat mencari lawan lebih mudah di suku akhir.

“Lawan kami tidak begitu sukar dalam dua perlawanan lalu. Kami tekad berikan aksi yang jauh lebih baik bila berdepan gandingan China itu nanti dan menjuarai Kumpulan B. Kami perlu teruskan momentum permainan kami, kerana kami sedar saingan semakin sukar,” kata Wee Kiong.

Berdasarkan rekod pertemuan (1-1), peluang tetap terbuka untuk pasangan negara itu mengintai peluang melakukan kejutan.

Sementara itu, Vivian dan Khe Wei pula mengesahkan tempat mereka di suku akhir setelah menundukkan gandingan Hong Kong, Poon Lok Yan-Tse Ying Suet 21-15, 21-13 dalam masa 35 minit.

Tidak seperti aksi pertama ketika menewaskan Heather Olver-Lauren Smith dari England yang mana mereka diberi tentangan sengit dan dilihat sedikit gementar, ianya jauh lebih mudah kali ini buat gandingan di ranking ke-15 dunia itu yang tampil lebih meyakinkan.

Ia juga kemenangan pertama mereka ke atas pasangan Hong Kong itu setelah tewas dalam dua pertemuan sebelum ini sekaligus melayakkan Vivian dan Khe Wei ke kelompok lapan terbaik, namun untuk mara selaku juara kumpulan mereka perlu menewaskan pilihan keempat Nitya Krishinda Maheswari-Greysia Polii dari Indonesia pada Sabtu malam.

Bagi gandingan beregu campuran sensasi negara, Peng Soon dan Liu Ying, mereka turut menepati ramalan melepasi halangan peringkat kumpulan setelah menundukkan Robin Middleton-Leanne Choo dari Australia 21-17, 21-15.

Lawan yang menanti selepas ini adalah bekas juara dunia, juga lawan yang mengecewakan mereka di final Terbuka Malaysia pada April lalu, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia.

Dan ternyata ianya ujian cukup getir buat pasangan negara itu, kerana berdasarkan rekod pertemuan mereka hanya pernah menang sekali dalam lapan pertemuan menentang gandingan nombor tiga dunia itu.

Fasa mudah sudah dilepasi, kini yang bakal ditempuh di depan semuanya adalah laluan berliku justeru tiba masanya untuk pemain-pemain negara menyerlahkan prestasi terbaik luar biasa dan tidak tunduk kepada ramalan di atas kertas. Buktikan, Malaysia Boleh walaupun kita tidak berada dalam senarai pilihan!

- Advertisement -