hasrol

Oleh Muhammad Aiman

Penyerang Hanelang FC, Hasrolsyawal Hamid mencuri tumpuan apabila meledak dua jaringan untuk membantu Terengganu mencatat kemenangan besar 6-1 dalam aksi persahabatan menentang pasukan 100 Plus Liga Perdana, Sabah pada Selasa.

Syawal yang merupakan antara lima pemain Hanelang menjalani latihan bersama skuad Liga Super Terengganu bermula 9 Jun lalu, masuk menggantikan pemain import, Jose Morales pada minit ke-14 ketika pasukannya ketinggalan 0-1 dan tidak mengambil masa lama untuk membalas kepercayaan Mike Mulvey.

Setelah ketua pasukan, Zairo Anuar Zailani menyamakan kedudukan buat Terengganu pada minit ke-22, Syawal yang menyarung jersi Real Mulia FC pada tahun lalu menjaringkan gol pendahuluan sang penyu menerusi satu sepakan rendah menewaskan Rozaimi Rahman pada minit ke-34 dan menambah jaringan kedua peribadi hasil sepakan voli cantik 10 minit kemudian untuk Terengganu mendahului 3-1 di babak pertama.

Ketika dihubungi www.sports247.my, produk Piala Presiden Terengganu itu berkata, “Memang sudah lama saya idamkan peluang untuk menyarung jersi pasukan senior, dan saya gembira dapat membalas kepercayaan diberi dalam ujian pertama saya.

“Saya berharap ini menjadi suntikan dan permulaan baik untuk membuat yang terbaik sepanjang tempoh penilaian oleh jurulatih.”

Tambah Syawal yang turut mendapat suntikan tambahan menerusi kelahiran cahayamata sulungnya pada Ahad lalu, “Untuk menjaringkan gol menentang pasukan yang mempunyai pemain import sudah tentunya satu perasaan berbeza berbanding sebelum ini. Apapun saya sedar saya tidak boleh cepat berpuas hati dan perlu terus memperbaiki prestasi agar dapat membuktikan saya benar-benar mempunyai kualiti untuk memikat perhatian jurulatih.”

Selain Syawal, empat lagi pemain Hanelang yang sedang menjalani latihan penilaian bersama Terengganu adalah Hasyidan Nafie, Wan Azizul Wan Aziz, Suhaimi Husin dan ketua pasukan Khairul Rosmadi.

Terengganu ketika ini sedang giat mempersiapkan pasukan bagi menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia yang akan berlangsung bulan depan, dengan perlawanan menentang Sabah adalah aksi pertama mereka sejak perlawanan menentang T-Team pada 22 Mei lalu.

Pada perlawanan itu, Terengganu terlebih dahulu ketinggalan kepada jaringan penalti Muamer Salibasic sebelum hadir gol Zairo dan Syawal – tiga lagi jaringan pasukan Terengganu disumbangkan Ashaari Samsudin (2 gol) dan Joseph Kalang Tie di separuh masa kedua.  

Antara perlawanan persahabatan lain yang akan diharungi Terengganu selepas ini adalah menentang Uitm Fc dan dua kali menentang pasukan adik yang juga pencabara dalam Liga Super, T-Team. 

- Advertisement -