Penyerang Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin sentiasa keluar sebagai penjaring gol ketika diperlukan dan mensasarkan untuk terus menambah koleksi tersebut apabila turun bertemu Nur Insafi, Ahad ini.

Setakat ini bekas penyerang negara berusia 30 tahun itu sudah meledak empat gol dalam kempen Liga Premier Hoki Malaysia dan bersedia meneruskan rentak jaringan apabila menentang pasukan berpangkalan dari Sungai Petani itu di Stadium Hoki USM, Pulau Pinang.

“Saya bermula perlahan pada musim ini dan kini mula menemui sentuhan jaringan dalam empat perlawanan terakhir. Ia satu situasi yang melegakan saya,” kata Izwan yang dalam tahun ke enamnya bersama UniKL.

“Walaupun sedikit masa perlu diambil saya untuk benar-benar berada dalam bentuk fizikal terbaik, namun saya tetap gembira dengan prestasi semasa saya.”

Tambahnya, biarpun bertarung sengit untuk mendapat minit perlawanan ekoran kehadiran import bertaraf dunia dari Belanda, Robbert Kemperman dan Valentin Verga di posisi penyerang, namun dia tetap menikmati masa beraksi di sisi mereka.

“Kami semakin hampir untuk menjulang mahkota sulung Liga Premier tetapi kami tidak boleh terlalu selesa, sebaliknya perlu menang baki tiga perlawanan. Secara peribadinya ia musim yang hebat untuk saya dan rakan sepasukan dan kami tidak lagi mahu menoleh ke belakang,” kata Izwan.

Dan aksi di Stadium Hoki USM juga pastinya bermakna buat Izwan apatah lagi ia kali pertama dalam tempoh lapan tahun dia membuat kepulangan ke stadium yang dianggap sebagai ‘rumah keduanya’ selepas yang terakhir hadir dalam kempen MHL 2011 bersama Sapura.

Produk Pulau Pinang itu juga sering menjadikan stadium itu sebagai lokasi menjalani latihan sendirian terutamanya sepanjang tempoh liga rehat berehat panjang.

Skuad UniKL di bawah kendalian Arul kini mengungguli liga dengan 27 mata hasil lapan kemenangan dan satu seri diikuti Tenaga Nasional Berhad (21 mata) manakala juara bertahan liga, Terengganu Hockey Team (THT) sekadar berpuas hati di tangga ketiga dengan 16 mata.

Selepas Nur Insafi, UniKL dijadualkan membuat perhitungan dengan Maybank pada 20 Februari dan menamatkan kempen liga menentang TNB Thundebolts pada 22 Februari di Stadium Tengku Abdullah, Bangi.

Sebagai rekod, Izwan mula membuat kemunculan buat skuad negara pada 2009 apabila dipilih beraksi dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah sebelum membantu Malaysia menjulang pingat perak Sukan Asia 2010.

Pada tahun lalu dia juga mendapat tawaran beraksi di liga utama Perancis bersama Racing Club de France (RCF), tetapi terpaksa menolaknya gara-gara komitmen keluarga.

- Advertisement -