Rungutan beberapa pihak mengenai penganjuran sukan olahraga pada temasya Sukan Malaysia XX MSN 2022 yang mencetuskan pelbagai masalah kepada kontinjen bertanding, adalah dirujuk.

Penganjur SUKMA MSN XX 2022 ingin memaklumkan bahawa semua jadual acara sukan olahraga diputuskan secara bersama dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan menuruti amalan standard jadual olahraga di pelbagai peringkat pertandingan.

Jadual acara-acara itu telah dimaklumkan lebih awal kepada setiap pasukan yang mempunyai masa mencukupi untuk menyusun penyertaan atlet masing-masing, mengambil kira faktor prestasi serta jarak masa rehat atlet di antara acara-acara dilangsungkan.

Masalah kecederaan yang dilaporkan berkemungkinan berpunca daripada tindakan segelintir negeri menyenaraikan seseorang atlet dalam banyak acara tanpa mengambil kira tempoh rehat mencukupi buat mereka.

Penjelasan ini bertujuan memperbetulkan dakwaan Ketua Jurulatih Terengganu, Zaki Sadri, yang mendakwa penjadualan acara dibuat tanpa merujuk kepada pihak berpengalaman.

Sebagai jurulatih berpengalaman, beliau juga seharusnya tahu bahawa dalam sukan bertemasya seperti Sukan SEA dan Sukan Asia, acara-acara olahraga juga dilangsungkan pada sesi pagi selain sesi petang dan sesi sebelah malam.

Penganjur juga ingin menegaskan bahawa rungutan jurulatih jalan kaki Kuala Lumpur, V Subramaniam, yang menyalahkan pegawai pertandingan atas dakwaan atlet terpaksa menghabiskan jarak tambahan 400 meter dalam acara jalan kaki 5,000 meter wanita sudah disiasat dan dibuktikan tidak benar.

Subramaniam dan pasukan Kuala Lumpur juga tidak pernah mengemukakan sebarang bantahan rasmi dan bukti-bukti kepada penganjur bagi menyokong dakwaan mereka itu.

Penganjur SUKMA XX MSN 2022 menyeru mana-mana jurulatih dan pegawai pasukan yang mahu membangkitkan sebarang isu supaya merujuk terlebih dahulu kepada pengurusan kontinjen masing-masing yang sentiasa mendapat maklumat terkini dan terperinci daripada penganjur.

JAWATANKUASA MEDIA DAN PUBLISITI

SUKAN MALAYSIA XX MSN 2022

 

 

- Advertisement -