Ketika tumpuan lebih terarah kepada Johor, Terengganu dan Kedah dalam arena trek lumba basikal di Velodrom Nasional di sini, Negeri Sembilan dan Perak mencuri tumpuan apabila masing-masing memenangi emas pertama mereka.

Pelumba remaja negara yang juga pelumba profesional bersama Kuwait Pro Cycling, Abdul Azim Aliyas dan trio pecut berpasukan Perak membuat kejutan manis itu untuk menyekat sementara dominasi tiga negeri berkenaan.

Kemenangan Abdul Azim, 19, lebih manis kerana ia berlangsung di depan penyokong negeri itu, lebih-lebih lagi apabila dia berada dalam senarai kedua terpantas di belakang pelumba Sabah, Lim Chun Kiat pada sesi kelayakan.

Ternyata, Abdul Azim yang mencatat 4 minit 30.157s menyimpan tenaga pada 2000m terakhir dalam perlumbaan final untuk merakam 4:28.808s dan memastikan emas pertama Negeri Sembilan dalam acara berbasikal pada Sukma XX kali ini.

Chun Kiat memenangi pingat perak dengan masa 4:31.528s manakala pelumba Johor, Zulhelmi Zainal memenangi gangsa (4:36.212s) dalam penentuan tempat ketiga.

Sementara itu, trio Pecut Bepasukan Perak turut membuat kejutan apabila meraih pingat emas menerusi Ahmad Safwan Ahmad Nazeri, Mohd Zakwan Hamidon dan Nazrul Hafidzy Mohd Hafidz yang mencatat 46.003s di pentas final.

Mereka menewaskan trio Johor (46.223s) manakala pingat gangsa dimenangi pasukan Kedah (46.934s).

Seperti diramal, pelumba elit negara yang mewakili Kedah, Nurul Izzah Izzati, yang memenangi emas pecut wanita semalam, mudah memenangi emas acara 500m ujian masa dengan catatan 35.545s, mengatasi cabaran pemenang perak dari Nurul Aliana Syafika Azizan (Pulau Pinang) dan pemenang gangsa Nur Qadrina Emylia Norzali (Selangor).

Dalam acara Omnium Wanita, pelumba Johor, Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad muncul pemenang emas dengan mengumpul 159 mata dalam 4 perlumbaan yang diadakan.

Perak dimenangi pelumba Terengganu, Nor Aisyah Munirah Chek Ramli (155 mata) manakala Nyo Ci Hui dari Perak memenangi gangsa (144 mata).

- Advertisement -