jdt.kay

Oleh Muhammad Aiman

Juara bertahan, Johor Darul Takzim tampil dengan kelas tersendiri untuk menempah tiket beraksi di suku akhir Piala AFC setelah membenam cabaran kelab Filipina, Kaya FC 7-2 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin pada Rabu.

Hujan lebat dua jam sebelum sepak mula memberi bayangan betapa aksi Johor menentang Kaya FC berkemungkinan besar akan ditunda, namun ianya menjadi hujan rahmat buat tuan rumah melakar kemenangan sensasi di hadapan lebih 17,000 penyokong setia.

JDT hanya mengambil masa 14 minit untuk membuka jaringan menerusi sepakan percuma Juan Martin Lucero dan menggandakan kelebihan sembilan minit kemudian menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Jorge Pereyra Diaz.

Pemain sayap, Azamuddin Akil menjadikan kedudukan 3-0 setelah menyempurnakan hantaran Diaz pada minit ke-33 dan pemain sayap kebangsaan itu sekali lagi meledak gol keempat menerusi rembatan lencong cantik yang gagal diselamatkan Matthew Acton.

Kaya FC merapatkan kedudukan menerusi Jose Porteria sebaik babak kedua bersambung, tetapi sebarang harapan untuk menterjemahkan kebangkitan dramatik lebur apabila Lucero menjaringkan gol kelima JDT pada minit ke-54.

Mahali Jasuli yang masuk menggantikan Azamuddin menjadikan kedudukan 6-1 pada minit ke-68 setelah menyempurnakan hantaran Diaz, diikuti hatrik buat Lucero pada minit ke-70 setelah bintang dari Argentina itu melepaskan rembatan kencang ke bumbung gawang Kaya FC untuk menjadikan kedudukan 7-1.

Antonio Ugarte menjaringkan gol kedua Kaya FC pada minit akhir menewaskan Izham Tarmizi namun pada hakikatnya, Kaya FC bukan tandingan buat Harimau Selatan!

- Advertisement -