JOHOR mendominasi acara kayak 1000 meter hari ini apabila memungut lima daripada enam pingat emas yang dipertandingkan pada hari pertama sukan Kenu di Kompleks Sukan Air Precint 6, Putrajaya.

Johor memungut tiga emas acara lelaki Kayak Single (K1), Kayak Double (K2) dan Kayak Four (K4) serta dua emas K2 dan K4 wanita.

Kem Johor memulakan hari cemerlang dalam sukan kayak 1000 meter dengan kemenangan emas Montoya Raw ak Michael dalam acara K1 lelaki menguasai dayungan acara itu dengan masa 3 minit 510 saat, menewaskan Khairul Naim Zainal dari Wilayah Persekutuan (3:530s) manakala Muhamad Faiz Akwan MOhd Fauzi dari Terengganu sekadar gangsa (4:130s).

Montoya sekali lagi cemerlang apabila memenangi emas K4, bersama-sama dengan Ahmad Nuqman Hadi Ayob, Mirza Adli Shaharaziz dan Muhammad Bahij Rabbani Mohamad Rizal, dengan catatan 3:150s, mengatasi kuartet Terengganu (3:170s) dan Wilayah Persekutuan (3:500s).

ā€œMemang sukar kerana lawan pendayung kebangsaan, tapi saya hanya fokus kerana memang sasar emas acara individu. Syukur dapat bantu K4 juga untuk menang emas. Terima kasih kepada jurulatih yang banyak memberi motivasi dalam Sukma pertama ini,ā€ kata atlit berketurunan Iban yang lahir di Mentakab dan bersekolah di Kangkar Pulai, Johor itu.

Wakil lelaki Johor dalam acara K2, Ahmad Ariff Rasydan dan Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize turut cemerlang apabila memenangi emas dengan masa 3:350s, menewaskan pasangan Wilayah Persekutuan Mohamad Nazrin Najib/Nik Afiq Nik Mazli (3:380s) dan pasangan Terengganu Hassan Al Basri Ali/Muhammad Naiem Syahmi Mahusin (3:430s).

Rentak emas lelaki Johor dituruti oleh pasangan wanita Farah Zulaikha Tokiman dan Nur Aina Iylia yang memenangi acara K2 dengan masa 4:150s; mengatasi Mas Durratul Iman/Roqayyah Nor Amran dari Wilayah Persekutuan (4:4:240s) dan pasangan Terengganu, Nor Asliza Ahmad/Saidatul Balqis Yusaimi (4:360s).

Emas kelima Johor dimenangi kuartet K4 wanitanya yang membariskan Nurkiasah Zaeinudin, Nur Atasha Nabila Saring, Nur Syahirah Fuad dan Nurul Najieha Zulkifli merakam masa 3:510s, mengatasi kuartet Wilayah Persekutuan dan Terengganu.

Satu lagi emas yang dipertaruhkan dimenangi peserta K1 dari Terengganu, Syahida Asyiqin Rusli yang mencatat masa 4:240s, menewaskan peserta Johor, Nur Atasha Nabila Saring dengan hanya perbezaan 0.030s. Gangsa dimenangi pendayung Wilayah Persekutuan, Aisyah Farhana Azwan (4:360s).

- Advertisement -