Setelah berehat lebih dua minggu ekoran kecederaan, ketua pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC, Paulo Josue kembali memperkuatkan pasukan menjelang aksi berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Rabu.

Ketiadaannya jelas dirasai pada dua perlawanan lalu yang menyaksikan KL City sekadar seri ketika berdepan PJ City (0-0) dan Selangor FC (1-1) selain terkandas di pusingan kedua Piala FA.

Justeru, pemain import berusia 33 tahun berkenaan harap dapat membantu skuad warga kota dalam mencari semula rentak kemenangan.

” Saya baharu pulih dari kecederaan pangkal paha berpunca semasa perlawanan dengan Selangor di Piala FA pada 8 Julai lalu.

” Sepatutnya perlu memakan masa enam minggu untuk pulih sepenuhnya namun badan saya memberikan respons baik terhadap proses pemulihan.

” Terpulang kepada perancangan jurulatih sama ada mahu gunakan khidmat saya, ada kemungkinan saya tidak bermain 90 minit lagi memandangkan saya baharu baik dari kecederaan.

” Namun saya sememangnya tidak sabar untuk turun kembali bantu pasukan kerana kita amat perlukan tiga mata ini selepas sekadar meraih dua dari enam yang sepatutnya kita boleh raih.

” Tambahan kita akan melalui beberapa perlawanan sukar di tempat lawan selepas ini, saya rasa tiga mata ini sangat penting kepada KL City,” katanya.

Josue merupakan antara pemain paling lama berkhidmat di KL City selepas Zhafri Yahya apabila telah bersama sejak pertengahan musim 2017.

Musim lalu menjadi antara detik terbaik buat Josue apabila menjadi salah seorang penjaring gol kemenangan KL City semasa menewaskan JDT, 2-0 di pentas final Piala Malaysia.

Berdepan Kedah, Josue dapat berasakan KL City mampu meraih kemenangan biarpun tidak menafikan sejarah pertembungan kedua-dua pasukan sentiasa akan berlangsung dengan sengit.

” Kita sentiasa ada rekod baik semasa berdepan Kedah apabila bermain di laman sendiri iaitu di Cheras apabila kita menang dalam tiga perlawanan terakhir.

” Sememangnya aksi dengan Kedah selalu menjanjikan cabaran tersendiri dan sengit, dijangka esok tiada bezanya buat kedua-dua pasukan.

” Kami telah mengkaji segala kekuatan serta kelemahan Kedah dan harap rekod positif ini mampu diteruskan.

” Kehadiran Mintah juga diharapkan mampu bantu bahagian serangan walaupun masih belum dapatkan jaringan gol dalam tiga perlawanan lepas tetapi saya masih yakin dia akan berikan impak kepada pasukan ,” katanya

- Advertisement -