Badan bebas, First Instance Body (FIB) mengumumkan bahawa kelab Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dikenakan hukuman pemotongan tiga mata bagi pertandingan Liga Super musim 2024-2025 dan denda RM 50,000 atas kegagalan membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023.

KDA FC telah diberikan masa untuk menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji berkenaan pada 30 Mac 2024 namun selepas tarikh akhir itu, kelab berkenaan gagal mematuhi syarat yang ditetapkan oleh FIB.

FIB mengambil maklum surat daripada KDA FC bertarikh 28 Mac 2024 berkaitan penyelesaian 50 peratus jumlah tunggakan gaji bagi tahun 2023 serta surat persetujuan penjadualan pembayaran baki tunggakan gaji yang ditandatangani 75 peratus pemain dan pegawai terlibat bertarikh 29 Mac 2024.

Namun, ianya masih tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan iaitu penyelesaian penuh tunggakan bayaran gaji bagi tahun 2023.

Oleh demikian, pasukan KDA FC dikenakan pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super musim 2024-2025 serta denda sebanyak RM 50,000 berkuatkuasa serta merta semalam, Khamis 4 April 2024 berdasarkan kepada Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 “Article 2.4 (c) Licensing Sanctions”.

Bagaimanapun sekiranya KDA FC gagal membuat pembayaran penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023
atau mengemukakan bukti dokumen kewangan untuk menyelesaikan pembayaran pada 20 April 2024 jam 5.00 petang maka Lesen Kebangsaan KDA FC boleh ditarik balik seterusnya kelab itu tidak layak untuk beraksi dalam saingan Liga Super bagi musim 2024-2025.

Sementara itu, FIB mengesahkan bahawa kelab Kuala Lumpur City FC (KL City) telah berjaya menyelesaikan pembayaran tunggakan gaji bagi tahun 2023 sebelum tarikh akhir 30 Mac 2024.

Tuan Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif
Pengerusi First Instance Body (FIB)

- Advertisement -