Ujian demi ujian melanda Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) apabila pucuk pimpinan utama persatuan itu melepaskan jawatannya.

Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah meninggalkan kerusi Presiden hanya selepas setahun memegang jawatan itu.

Perkara tersebut disahkan Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman dimana perletakan jawatan tersebut berkuat kuasa 6 Julai lalu, genap 12 bulan ketika beliau dilantik pada tahun lepas menerusi Kongres Luar Biasa (EGM) KAFA.

Alasan yang diberikan oleh Wan Abdul Rahim atau dikenali dengan ‘Cikgu Rahim’ kerana tidak lagi mampu memimpin persatuan dan memberi laluan kepada kepimpinan yang baru untuk menerajui KAFA.

Selepas isu tunggakan gaji melibatkan pemain import, KAFA mengambil keputusan untuk ‘merehatkan’ Wan Abdul Rahim dan Timbalan Presiden Datuk Seri Afandi Hamzah atas faktor kewangan yang serius.

KAFA kini dipimpin Datuk Shaari Mat Husin selaku pemangku Presiden yang dianggap mampu mengurus tadbir kemelut yang sedang melanda persatuan itu serta mengharungi saingan Liga Malaysia yang dijadual bersambung pada Ogos.

 

- Advertisement -