Mohd Hafifi Mansor

Oleh Muhammad Aiman

Kurang 48 jam setelah memaklumkan bahawa mereka hanya boleh meluluskan bajet untuk latihan selama 14 hari di China, Institut Sukan Negara menerusi Program Podium kendaliannya membuat keputusan untuk meluluskan hasrat atlet angkat berat negara Hafifi Mansor berlatih selama dua bulan di China.   

Perkara itu disahkan sendiri oleh Hafifi yang berkata persetujuan dicapai setelah perbincangan dengan pengarah Program Podium, Tim Newenham pada Jumaat.

“Tim sendiri bertemu saya dan kami telah berbincang hampir sejam mengenai perkara ini. Alhamdulillah keputusan positif dicapai, beliau bersetuju membenarkan saya berlatih lapan minggu di sana, bukannya dua minggu. Saya gembira diberi peluang ini dan berjanji akan manfaatkan sepenuhnya peluang berada di China,” katanya.

Hafifi yang menghadiahkan pingat emas pertama negara di Sukan Komanwel Glasgow 2014 dijangka berlepas ke negara tembok besar itu pada Rabu atau Khamis depan, dan akan berada di sana sehingga 27 Julai – seminggu sebelum Sukan Olimpik Rio De Janeiro membuka tirai secara rasmi.   

Khamis lalu, Newenham dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa hasrat Hafifi untuk berlatih selama dua bulan di China sebagai persiapan menjelang temasya sukan terbesar dunia itu tidak dapat ditunaikan lantaran cadangan itu dikemukakan pada saat akhir.

Sebaliknya, Newenham berkata pihaknya hanya boleh meluluskan peruntukan untuk atlet itu berada di China selama dua minggu untuk membantu persiapan atlet kelahiran Terengganu itu – satu tempoh yang dianggap tidak memadai dan membazir oleh rata-rata pemerhati sukan, termasuk bekas badang negara Amirul Hamizan Ibrahim.

Untuk rekod, sukan angkat berat mempunyai wakil buat kali pertama di pentas olimpik selepas lapan tahun di mana Amirul Hamizan membawa cabaran negara di Beijing 2008.

- Advertisement -