Selepas empat tahun, Malaysia dan Indonesia akan kembali memperbaharui permusuhan dalam aksi bolasepak lelaki di pentas Sukan SEA apabila kedua-dua pasukan bertembung di peringkat separuh akhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Shah Alam pada Sabtu (26 Ogos).

Kedua-dua pasukan kali terakhir bertemu di perlawanan separuh akhir Sukan SEA Myanmar 2013 di mana ketika itu Indonesia Ā menewaskan Malaysia dengan jaringan 1-0 sekaligus membalas dendam kekalahan di perlawanan akhir dua tahun sebelum itu di Palembang.

Bagi Malaysia, kejayaan di Palembang itu adalah penampilan terakhir mereka di perlawanan akhir dan kali ini dianggap sebagai pilihan untuk meneruskan kemaraan ke final setelah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang saingan peringkat kumpulan selain kelebihan sebagai tuan rumah.

Malah, mengambil kira rekod pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di pusingan kelayakan Kejuaraan AFC B-23 bulan lalu, Malaysia mencatat kemenangan meyakinkan 3-0.

Namun pengendali Malaysia, Datoā€™ Ong Kim Swee berpendapat cabaran Indonesia tidak wajar dipandang mudah kerana pasukan bimbingan Luis Milla itu menurutnya telah menunjukkan peningkatan yang cukup ketara selepas kekalahan tersebut. Ā 

ā€œSaya lihat banyak perbezaan, selepas tewas kepada kita bulan lalu mereka bertambah baik. Mereka bangkit menewaskan Mongolia, seri dengan Thailand dan di sini mereka berada dalam kumpulan sukar, bersama Thailand, Vietnam, mereka tidak tewas dan ini membuktikan kredibiliti mereka.

ā€œMalahan prestasi baik empat kemenangan yang kita catat di peringkat kumpulan juga bukan indikasi untuk kita mengatakan kita lebih bagus, separuh akhir adalah cabaran berbeza dan itu adalah fokus saya dan pemain-pemain saya bukannya mengenai perlawanan yang sudah berlalu termasuklah perlawanan di pusingan kelayakan, peringkat kumpulan dan sebagainya,ā€ katanya.

Kim Swee turut mengesahkan kesemua pemainnya berada dalam keadaan cergas justeru dijangka dapat menurunkan kesebelasan terbaik pada perlawanan malam esok. Ā Ā Ā 

Bagi penolong jurulatih Indonesia, Bima Sakti, beliau percaya pemainnya akan dapat memberikan tentangan sengit meskipun bakal turun tanpa kelibat beberapa pemain utama antaranya ketua pasukan Hansamu Yana Pranata, Muhammad Hargianto dan Marinus Mariyanto Wanewar kerana penggantungan dan juga kecederaan.

ā€œKita telah berjuang sehabis baik untuk lolos ke peringkat ini, harapan saya adalah satu lagi aksi yang baik dari mereka menentang Malaysia. Kita tahu Malaysia sebuah pasukan yang kuat lebih-lebih lagi bermain di hadapan penyokong sendiri namun kita akan cuba menyaingi mereka.

ā€œSiapapun pemain yang diturunkan, dalam pasukan kami semua pemain adalah pemain kunci, tidak ada pemain-pemain tertentu yang kami label tonggak, jadi semua akan menyumbang. Itu adalah apa yang saya beritahu mereka,ā€ katanya.

Untuk rekod, Malaysia melangkah ke separuh akhir setelah melakar rekod sempurna empat kemenangan dari empat perlawanan seterusnya menjuarai Kumpulan A manakala Indonesia berjaya merebut tempat mereka menerusi kemenangan dalam aksi terakhir menentang Kemboja, pada Khamis. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -