PDRM PAHANG RC

Oleh Muhammad Aiman

Juara bertahan Melaka dan PDRM mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Divisyen Satu Kejohanan Hoki Piala Razak 2016 setelah masing-masing melakar kemenangan kedua dalam aksi Kumpulan A di Stadium Hoki Bukit Jalil, pada Isnin.

Melaka garang membelasah Johor 5-1 hasil jaringan Asyraf Zuhri Mahat pada minit ke-15, Amirullah Zainol (m-22, 46), Dedy Aryadi Jumaidi (m-56) dan pukulan sudut penalti Firdaus Omar pada minit akhir perlawanan manakala Syafiq Md Zain menjaringkan gol tunggal Johor.

Dengan enam mata, Melaka menerajui Kumpulan A menerusi kelebihan jaringan mengatasi PDRM dan pertemuan antara kedua-dua pasukan pada Rabu akan menentukan siapakah yang akan bergelar juara kumpulan.

Sementara itu, PDRM pula mengetepikan tentangan sengit Pahang sebelum merakam kemenangan tipis 4-3.

Pahang membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi jaringan Sabri Mohamad dan kelebihan 1-0 bertahan sehingga tamat separuh masa pertama.

PDRM bagaimanapun tampil selaku pasukan berbeza di babak kedua permainan dan ketua pasukan skuad kebangsaan, Razie Rahim menyamakan kedudukan pada minit ke-37 menerusi pukulan sudut penalti, seterusnya mendahului perlawanan menerusi jaringan sudut penalti Baljit Singh pada minit ke-43.

Ahmad Kazamirul Nasirudin kembali menyamakan kedudukan 2-2, juga menerusi pukulan sudut penalti namun PDRM tampil mengesahkan kemenangan menerusi dua jaringan pantas Baljit Singh dan Dick Cheny Waili pada minit ke-53 dan 55.

Jaringan Ismail Abu pada minit akhir sudah terlewat untuk menghalang PDRM dari mengutip tiga mata dan mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dalam penampilan sulung mereka dalam saingan Divisyen Satu.

Dalam pada itu, saingan Divisyen Dua pula menyaksikan dua perlawanan Kumpulan B berlangsung dengan Sabah melakar kemenangan kedua setelah menewaskan Sarawak 3-1 manakala Kelantan yang membelasah Sarawak 6-2 pada perlawanan pertama kecundang 2-5 kepada ATM.

- Advertisement -