Terengganu FC dan Terengganu FC II menjadi dua pasukan pertama yang memperolehi kebenaran Malaysian Football League (MFL) untuk melakukan latihan secara Camp Based Training di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kedua-dua pasukan akan berkumpul di Kem Pengakap Tengku Mohd Ismail bermula pada 24 Mei sehingga tempoh yang akan ditentukan kelak berdasarkan tempoh PKP ditetapkan kerajaan.

Ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain, menjadi antara individu paling gembira sebaik mendapat perkhabaran yang mereka dapat turun ke padang pada minggu ini sambil memberikan penghargaan kepada kepantasan pihak pengurusan yang cepat bertindak.

Malah, beliau berasakan ini satu motivasi penting kepada pasukan yang akan menghadapi Piala AFC bermula 30 Jun hingga 6 Julai bagi saingan Kumpulan I di Singapura.

“Lega rasanya kita berpeluang adakan latihan semula selepas aksi terakhir liga pada 9 Mei lalu dan terima kasih kepada pengurusan yang pantas mendapatkan tempat penginapan bersesuaian sebaik mendapat makluman yang semua pasukan wajib mengadakan latihan secara Camp Based pada minggu lalu oleh MFL.

“ Latihan secara fizikal amat penting agar pemain-pemain dapat mengekalkan tahap kecergasan apabila mereka telah dua minggu berehat kerana Piala AFC hanya tinggal sebulan sahaja buat kami bagi lakukan persiapan.

“Semua pemain akan menginap di sini (Kem Pengakap) namun segala pergerakan pergi dan balik ke tempat latihan iaitu di Gong Badak akan menggunakan bas yang disediakan oleh pihak pengurusan, ” katanya.

Perkara ini selaras dengan pengumuman MFL pada 19 Mei lalu yang mengumumkan pasukan-pasukan Liga Malaysia hanya dibenarkan menjalani sesi latihan secara Camp Based Training sepanjang penguatkuasaan PKP dilaksanakan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah tersebut dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 yang semakin serius di negara ini.

Sementara itu, beliau akan sentiasa memastikan pemain serta pegawai akan mematuhi segala SOP yang ditetapkan agar kebenaran diberikan oleh MFL tidak akan ditarik balik.

“ Buat masa ini, semua pemain kenalah berkorban sedikit untuk tidak berjumpa keluarga sementara waktu ini memandangkan kita perlu mematuhi SOP yang telah digariskan oleh pihak berkuasa.

“ Mereka juga mahukan perkara ini iaitu sesi latihan dapat diteruskan demi melakukan persiapan lebih baik hadapi Piala AFC, jadi sama-sama kita jaga peluang yang telah diberikan.

“ Namun saya yakin pemain boleh berdisiplin dalam soal ini memandangkan SOP kali ini lebih ketat demi keselamatan semua pemain serta pegawai berikutan kes penularan COVID-19 yang semakin tinggi, ” katanya.

- Advertisement -