Jurulatih MIFA, K.Devan memuji aksi bertenaga dan meyakinkan ditunjukkan barisan pemainnya yang berjaya mengikat finalis Piala Malaysia musim lalu, Kedah 2-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya meskipun beraksi keseluruhan separuh masa kedua dengan 10 pemain.

MIFA ketinggalan pada minit ke-31 menerusi jaringan sepakan percuma Sandro Mendonca dan kemudiannya kehilangan khidmat ayam tambatan Kpah Sean Sherman yang dilayangkan kad merah pada minit akhir separuh masa pertama.

MIFA bagaimanapun hanya mengambil lima minit di separuh masa kedua untuk mengikat kedudukan 1-1 menerusi tandukan L’Imam Seydi hasil hantaran sepakan sudut Bae Beom Geun.

Tandukan cantik Halim Shaari hasil hantaran Sandro kembali meletakkan Kedah di depan pada minit ke-56 sebelum R.Bharathkumar menyelamatkan satu mata dengan menanduk masuk hantaran Beom Geun pada minit ke-80.

“Saya tidak boleh meminta lebih daripada pemain saya, bukan mudah untuk bangkit menentang sebuah pasukan berpengalaman dan kuat seperti Kedah dalam keadaan beraksi 10 pemain tetapi kita mampu untuk memberi tentangan.

“Pemain-pemain kerah kudrat sehabis yang boleh dan skor dua gol, mungkin juga keputusan lebih baik jika 11 lawan 11. Apapun saya cukup gembira dengan keputusan ini dan mereka wajar diberikan kredit atas prestasi yang ditunjukkan,” kata Devan.

Satu mata yang diraih membolehkan MIFA kembali menerajui Kumpulan C dengan tujuh mata, diikuti Johor Darul Takzim (6 mata), Kedah (5 mata) dan Kelantan (4 mata) sekaligus kekal dalam landasan tepat untuk meneruskan langkahan ke suku akhir.

Aksi seterusnya MIFA akan menentang Kelantan di Kota Bharu pada Jumaat. MUHD AIMAN 

- Advertisement -