Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia Datuk Misbun Sidek mengharapkan 24 pemain yang akan beraksi di playoff kejohanan badminton 100PLUS Cabaran Ranking Junior Kebangsaan 2020 menumpukan beberapa aspek untuk mempertingkatkan lagi kemampuan diri.

Selain aspek kemahiran, Datuk Misbun mahu pemain pemain remaja ini mempunyai karisma untuk membuat keputusan ketika di gelanggang.

“Saya nak lihat karisma mereka, sebagai contoh bagaimana dia bergerak, tahap kecergasan, kawalan bola dan melakukan sentuhan dan kemahiran teknikal serta mencari mata menggunakan corak taktikal tersebut.

“Menang atau kalah tidak mengapa, tetapi apa yang penting adalah mereka menunjukkan karisma seperti yang telah saya sebutkan dan ia akan membantu dalam menentukan apa lagi yang pemain ini perlukan untuk terus maju,” kata Datuk Misbun.

Sementara itu, V Poopathy mahu menebus kekecewaan selepas gagal beraksi dengan baik di Cabaran Ranking Junior Kebangsaan 2020 Oktober lalu selepas menduduki tangga ke 9 dengan hanya meraih dua kemenangan dalam sembilan perlawanan.

“Ketika itu tahap keyakinan menurun kerana hampir tewas semua perlawanan, tetapi jurulatih, ahli keluarga dan rakan rakan memberi kata kata semangat.

“Sepanjang sesi latihan saya fokuskan kekuatan stamina dan mental ketika di gelanggang. Sudah tentu saya mahukan kemenangan untuk kekal dalam Divisyen 1. Sudah tentu pemain pemain lain turut menyasarkan kemenangan dalam setiap perlawanan,”kata V Poopathy.

Juara kumpulan B perseorangan lelaki Cabaran Ranking Junior Kebangsaan 2020 Oktober lalu, Eogene Ewe Eon pula menumpukan latihan untuk meningkatkan stamina dan kelajuan sebelum turun beraksi esok.

Malah, Eogene berharap keadaannya di tahap yang optimum sepanjang perlawanan sekaligus memastikan beliau melangkah keluar dari gelanggang dengan kemenangan.

“Sudah tentu semua pemain dalam kumpulan ini mahukan kemenangan. Pertandingan ini amat bermakna kepada kami kerana dengan ketiadaan kejohanan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pertandingan ini memberi ruang untuk kami lihat ada atau tidak kemajuan sepanjang latihan.

Selain V Poopathy dan Eogene Ewe Eon, turut berada dalam kumpulan A dan B perseorangan lelaki adalah Anson Cheong dan Dylan Ooi Ding Sheng.

Menang atau kalah bukan perkara utama, apa yang penting adalah berusaha dengan lebih gigih untuk memburu impian yang lebih besar,”kata Eogene.

Lain lain kumpulan, Tan Shen Thing, Chong Jie Yu, Oo Shan Zi, dan Carmen Ting akan bersaing bagi perseorangan perempuan kumpulan B dan C, manakala Low Han Chen, Ferdinan Ramno, Lok Hong Quan, dan Aaron Tai bagi saingan perseorangan lelaki.

Tan Zhing Hui, Wong Lily, Shaneesa Shahidi dan Noraqilah Maisarah Ramdan pula akan beraksi dalam perseorangan perempuan kumpulan Cdan D manakala saingan bagi perseorangan lelaki akan melibatkan Kee Is Qian, V Tamilarasukumar, Kong Teck Joon dan Lee Yen Wei

Kejohanan Playoff 100PLUS Cabaran Ranking Junior Kebangsaan 2020 dijadual bermula dari 4 hingga 6 November di Stadium Juara Bukit Kiara.

24 pemain yang terdiri daripada dua pemain terbaik bagi kumpulan B, C dan D perseorangan lelaki dan perempuan akan bersaing dengan dua pemain tercorot bagi kumpulan A, B,C dan D ketika saingan 100PLUS Cabaran Ranking Junior Kebangsaan 2020 Oktober lalu menerusi format round robin di perlawanan playoff kali ini untuk menentukan ranking pemain pemain.

Pertandingan  akan dilangsungkan secara tertutup melibatkan pemain pemain remaja yang kembali menjalani latihan secara berperingkat di Akademi Badminton Malaysia, ABM pada Julai lalu.

- Advertisement -