Oleh Muhammad Aiman

Negeri Sembilan terus menerajui kedudukan 100PLUS Liga Premier setelah mencatat kemenangan keenam berturut-turut dengan menundukkan MISC-MIFA 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Skuad hoben jang hoben mendahului 1-0 menerusi jaringan Marko Simic di minit akhir separuh masa pertama dan Andrew Tuck menggandakan kelebihan empat minit sebaik separuh masa kedua bersambung.

Michael Chukwubuna merapatkan jurang buat MIFA pada minit ke-52 namun mereka gagal mencari tambahan jaringan untuk setidak-tidaknya meraih satu mata.

Kemenangan membolehkan skuad kendalian Asri Ninggal meraih maksimum 18 mata dan berkelebihan tiga mata mengatasi Terengganu manakala MIFA kendalian Jacob Joseph kekal menghuni kedudukan tiga tercorot dengan hanya tiga mata.

Sementara itu, Terengganu kembali mendaki ke tangga kedua liga setelah bekerja keras menundukkan pasukan tangga tercorot, Perlis 2-1 di Stadium Utama, Kangar.

Pemain import, Issey Nakajima Farran menyempurnakan penalti dan kemudiannya menambah satu lagi jaringan di separuh masa pertama untuk skuad kendalian Irfan Bakti mendahului 2-0.

Perlis bangkit memberi tentangan di separuh masa kedua dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi Brendan Adams pada minit ke-51 namun jaringan itu tidak dapat mengelak skuad Razip Ismail dari mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dan yang kelima musim ini.

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC tergelincir ke tangga ketiga dengan 14 mata setelah sekadar seri 1-1 menentang Johor Darul Takzim II di Pasir Gudang.

Jaringan G.Mugenthiran pada minit ke-70 memadam jaringan pendahuluan tuan rumah menerusi Nicholas Fernandes pada minit ke -15 sekaligus membantu skuad kendalian Abu Bakar Fadzim meraih satu mata berharga di tempat lawan dan mengekalkan permulaan cemerlang mereka bagi musim ini.

Dalam pada itu, PDRM melakar kemenangan ketiga berturut-turut dengan menundukkan ATM 5-4 dan melonjak ke tangga kelima dengan 12 mata.

Dalam aksi berbalas jaringan di Stadium Proton, Tanjung Malim, PDRM mendahului 2-0 dalam tempoh 10 minit pertama permainan menerusi jaringan Dao Bakary dan Safuwan Baharudin sebelum Venice Elphi menjadikan kedudukan 1-2 buat ATM.

PDRM kembali berkelebihan dua jaringan menerusi jaringan sendiri pemain ATM pada minit ke-35 namun dua gol pantas Zainal Jakaria dan Venice Elphi menjadikan kedudukan terikat 3-3 di separuh masa pertama.

Giliran ATM pula mendahului 4-3 menerusi Rafizol Roslan pada minit ke-57 namun PDRM memastikan tiga mata milik mereka menerusi jaringan penyamaan Bakary (m-86) dan kemudiannya beroleh jaringan kemenangan pada masa kecederaan menerusi Amir Saiful Badeli.

Perlawanan lain menyaksikan Kuala Lumpur mencatat kemenangan pertama dalam empat perlawanan dengan menundukkan Kuantan FA 2-1 manakala Sabah tewas di tempat sendiri kepada UITM FC sekaligus kekal di kedudukan kedua tercorot.

- Advertisement -