Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan atlet negara yang telah layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selamat dan kedudukan mereka tidak akan digugat.

Menerusi kenyataan media, Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria antara wakil Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) yang mengadakan persidangan video yang dipengerusikan oleh Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach telah membincangkan perkara ini.

“Antara perkara yang dibincangkan adalah; jawatankuasa khas “Here We Go” yang terdiri daripada ahli IOC, Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dan pemegang taruh yang terlibat untuk melihat dan mendapat tarikh baru penganjuran Olimpik Tokyo.

“IOC sedia maklum 57% daripada kira kira 11 000 atlet yang akan mengambil bahagian di Olimpik Tokyo telah pun layak. Perbincangan dengan wakil badan Sukan Antarabangsa (IFs), IOC mengesahkan kesemua atlet yang telah layak akan mendapat tempat di Sukan Olimpik yang akan berlangsung tahun depan,”kata Norza.

Ia sekaligus memberi kelegaan kepada atlet negara yang telah layak antaranya Azizul Hasni Awang, Farah Ann Abdul Hadi, dan Mohd Khairulnizam Afendy sekaligus melakukan persiapan yang sewajarnya sebelum temasya bermula.

Tambah Bach lagi, proses kelayakan untuk mengisi baki slot akan diputuskan diantara IOC dan badan induk sukan antarabangsa selepas tarikh baru Olimpik Tokyo diputuskan.

IOC dan badan induk sukan antarabangsa akan memastikan keputusan yang akan dibuat kelak adalah adil termasuk had umur bagi beberapa sukan seperti bolasepak.

Tambah Datuk Seri Norza lagi, MOM akan terus bekerjasama dengan IOC, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan.

- Advertisement -