Majikan dan pemain – dua golongan yang menjadi kunci dalam industri bola sepak tempatan – digesa duduk semeja untuk mencari solusi terbaik dalam menangani impak gara-gara wabak COVID-19.

Saranan ini dikemukakan oleh pemerhati bebas sebagai langkah praktikal demi memastikan kelangsungan industri bola sepak tempatan dalam jangka masa panjang.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam, Sadek Mustafa yang melihat dari sudut global jelas bersetuju jika rundingan semua pihak diadakan demi kelangsungan liga dan semua pemegang taruh.

“Semua pihak perlu praktikal dan rasional untuk kelangsungan bola sepak tempatan. Kenapa perlu berkeras, sedangkan langkah-langkah bersifat praktikal boleh diperkenalkan?

“Kalau kita lihat liga di luar negara sudahpun mencadangkan potongan gaji, penundaan gaji dan juga salary cap.

“Andainya opsyen yang dibincangkan ialah penundaan bayaran gaji, ia tidak bermaksud pemain akan mengalami kerugian tetapi berkorban sedikit hari ini untuk keuntungan jangka masa panjang.

“Pemain hendaklah bersikap terbuka dalam hal ini. Kita lihat Kerajaan Persekutuan memperkenalkan beberapa inisiatif, selain institusi kewangan, pinjaman dan percukaian memberi kelonggaran. Sebagai anggota masyarakat, pemain juga mendapat faedah sebegini.

“Semua pihak harus memahami kesan rantaian ekonomi. Sekarang bukan masanya untuk bermewah-mewah kerana kelangsungan jangka masa panjang untuk semua jauh lebih penting,” katanya.

Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selaku badan induk bola sepak negara dan Malaysian Football League (MFL) sebagai pengendali Liga Malaysia 2020 dalam satu kenyataan menasihati serta menggalakkan supaya semua pasukan dan kelab terlibat mengadakan perbincangan terbuka dengan para pemain bagi membincangkan kesan terhadap situasi semasa ini.

Ini susulan arahan kerajaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April 2020 kerana isu penularan wabak COVID-19 sekali gus menyebabkan saingan Liga Malaysia 2020 yang ditangguh mulai 16 Mac lalu bakal dilanjutkan lagi penangguhannya untuk satu tempoh yang lebih lama.

Bagi Sadek, adalah tidak wajar menjadikan segelintir majikan yang culas dalam bab bayaran gaji sebagai contoh.

“Jika kedua-dua majikan dan pemain berunding, lanjutan masa dari segi perundangan dan syarat-syarat kontrak boleh dibincangkan atas sebab force majeure atau keadaan darurat atau luar jangkaan di luar kemampuan manusia.

“Kita harus terima hakikat seandainya majikan bergelut dengan masalah kewangan dan berdepan kemungkinan gulung tikar, kesudahannya pemain dan kakitangan pasukan itu yang terus hilang pekerjaan.

“Bagi pemain yang mendapat gaji yang dianggap kecil, kita harus faham ramai lagi golongan B40 yang hidup kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang. Kita harus ingat orang tamak selalu rugi,” kata Sadek.

- Advertisement -