jdtbenga-1

Oleh Muhammad Aiman

Kerana sayangkan pasukan, pemain Johor Darul Takzim (JDT) sepakat mengeluarkan duit sendiri untuk membayar denda RM30,000 yang dikenakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke atas Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ).

“Pemain-pemain JDT diketuai Safiq Rahim, bersepakat berkongsi wang sesama sendiri untuk membayar kesemua denda yang dijatuhkan FAM kepada kelab JDT akibat insiden ketika perlawanan menentang Perak beberapa bulan lalu.

“Pemain menyarankan agar kelab tidak perlu mengeluarkan duit untuk tujuan bayar denda tersebut. Mereka lakukan semua ini demi kasih sayang kepada kelab selama ini. Para pemain juga menyeru penyokong Harimau Selatan agar menjaga tingkah laku pada masa akan datang agar perkara sama tidak berulang,” demikian menurut kenyataan rasmi dari kelab itu.

Jawatankuasa Tatatertib FAM pada Rabu memutuskan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dan PBNJ dikenakan hukuman gara-gara tindakan liar penyokong kedua-dua pasukan ketika perlawanan antara JDT dan Perak di Stadium Ipoh 6 Ogos lalu.

Pada perlawanan itu, JDT menewaskan Perak 1-0 menerusi jaringan tunggal Jorge Pereyra Diaz namun perlawanan kemudiannya dicemari dengan insiden kekecohan yang bermula dari tindakan provokasi penyokong kedua-dua pasukan.

PBNJ didapati bersalah kerana tindakan penyokong JDT membaling botol minuman ke arah penyokong Perak, merosakkan papan iklan, mencederakan jurugambar (pertuduhan pertama) serta menyanyikan lagu menghina pasukan Perak (pertuduhan kedua) menyebabkan mereka didenda RM15,000 bagi setiap pertuduhan.

PAFA selaku tuan rumah pula disabitkan dengan dua pertuduhan iaitu tanggungjawab kelakuan penonton dan kegagalan mematuhi prosedur penganjuran perlawanan sehingga mendatangkan kecederaan justeru dikenakan hukuman beraksi tiga perlawanan pertama di gelanggang sendiri tanpa penonton selain denda berjumlah keseluruhan RM47,500.

Kedua-dua PAFA dan PBNJ turut diberi amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan sekiranya kesalahan sama berulang, namun masing-masing dibenarkan untuk membuat rayuan kepada FAM.

- Advertisement -