Oleh Muhammad Aiman
Kapten skuad kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Razak menegaskan Malaysia tidak akan bermasalah untuk menundukkan Fiji dalam perlawanan terakhir Jelajah Oceania di Nadi pada Ahad, seandainya kesemua pemain dapat bermain mengikut percaturan jurulatih dan memberikan prestasi lebih dari 100 peratus.
“Kita sudah berlatih selama dua hari di sini dan saya yakin pemain-pemain telah memahami kehendak dan taktikal jurulatih (Ong Kim Swee). Dengan keadaan padang yang tidak berapa elok, serta cuaca panas di mana kita akan beraksi jam 2 petang kita boleh jangkakan satu perlawanan yang sukar.
“Kita akan menentang sebuah skuad Fiji yang bagus, tetapi bagi saya siapapun yang diturunkan esok (Ahad), kalau boleh bermain mengikut taktikal dan lebih penting berikan prestasi lebih 100 peratus tidak mustahil untuk melakar kemenangan. Saya harapkan kita akan pulang dari jelajah ini dengan kemenangan,” ujar Aidil yang mengalas tanggungjawab kapten berikutan ketiadaan Safiq Rahim.
Malaysia sebelum ini memulakan jelajah selama 15 hari di Oceania dengan kekalahan mengejut 0-2 kepada pasukan di ranking ke-193 dunia, Papua New Guinea pada 17 Jun, sebelum bangkit mencatat kemenangan moral 2-1 ke atas New Caledonia (ranking 183 dunia) lima hari kemudian.
Perlawanan menentang Fiji, pasukan di ranking ke-186 dunia bakal menyaksikan Malaysia turun tanpa kelibat Mahali Jasuli yang sudahpun dihantar pulang, ketua pasukan Selangor Shahrom Kalam, Zaquan Adha Abd Razak yang mengalami kecederaan pergelangan tangan manakala Abdul Latiff Suhaimi pula belum pasti cergas sepenuhnya.
Sementara jurulatih Fiji, Frank Farina pula dijangka menurunkan barisan terkuatnya dalam kelibat penjaring prolifik, Roy Krishna, Losefu Varevou, Samuela Kautoga, Manasa Navakula, Kolinio Sivoki dan Beniamoni Mateinaqara.