Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Petronas sah tidak lagi bersama selepas kedua dua pihak memutuskan untuk menamatkan kerjasama melibatkan pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT).

Perkara tersebut disahkan SIC menerusi kenyatana media. Penamatan kerjasama itu menyaksikan Petronas turut menamatkan kerjasama dengan Petronas Sprinta Racing dalam saingan Moto2 dan Moto3 yang telah dijalin sejak 2018 sebelum kerjasama berkenaan berkembang hingga saingan MotoGP menerusi Petronas Yamaha Sepang Racing Team (PYSRT).

Sehubungan dengan itu, SIC akan membuat pengumuman berhubung masa depan mereka dalam perlumbaan MotoGP bagi musim 2022 termasuk penjenamaan sebagai entiti baharu.

“Kami menghormati keputusan Petronas, dan bersetuju bahawa kerjasama ini telah mencapai matlamat dan objektifnya. Saya percaya ini bukan penamat kepada kerjasama kami dalam sukan permotoran kerana kami akan meneruskan pencarian bakat-bakat baharu di seluruh negara.

“SIC juga berbangga kerana turut terlibat dalam pembentukan dan perkembangan awal pasukan yang melebihi jangkaan dalam prestasi mereka. Kami ucapkan selamat maju jaya dalam fasa seterusnya di bawah entiti baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif

Ketua Komunikasi Strategik Petronas Datin Anita Azrina Abdul Aziz dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada SIC atas komitmen mereka dalam memastikan kejayaan menjayakan kerjasama berkenaan.

“Kami berbangga kerana menerusi kerjasama dengan SIC selama ini, kami berjaya menunjukkan kemampuan dari segi penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan juga berbangga bahawa Petronas Fluid Technology Solutions telah memainkan peranan penting ke arah menjadikan status pasukan itu sebagai pencabar dalam kejohanan.

“Bersama kita telah mencipta detik-detik menonjol dalam sukan ini, menunjukkan kita telah capai apa kita sasar untuk dilakukan dan merasakan ia adalah masa yang baik untuk memuktamadkan kerjasama,” katanya.

asukan Petronas Yamaha SRT membuat penampilan sulung dalam Kelas Premier pada musim 2019 dengan cemerlang apabila dianugerahkan sebagai Pasukan Bebas Terbaik dan menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan Kejohanan Dunia MotoGP.

Ketika pandemik melanda pada musim 2020, pasukan itu merekodkan enam kemenangan dan menamatkan saingan di kedudukan kedua kejohanan dunia dan sekali lagi meraih gelaran Pasukan Bebas Terbaik dengan pelumbanya Franco Morbidelli muncul naib juara MotoGP.

 

- Advertisement -