BERDASARKAN senarai nama awal yang diberi Movistar dan EF Education-EasyPost yang sarat dengan pakar pendaki, kedua-dua pasukan WorldTeam ini tampak serius memburu jersi kuning berprestij PETRONAS-Le Tour de Langkawi 2022 (LTdL22), 11-18 Oktober ini.

Movistar, pasukan berdaftar di Sepanyol yang tampil buat kali pertama dalam sejarah 26 tahun LTdL, menyenaraikan tiga pakar pendaki iaitu Oscar Rodriguez dan dua pelumba kelahiran Colombia, Einer Agusto Rubio Reyes dan Ivan Ramiro Sosa Cuervo.

Rodriguez, 27, pernah memenangi peringkat dalam perlumbaan Grand Tour apabila menguasai pendakian Peringkat 13 Vuelta a Espana 2018 ketika bersama pasukan Euskadi-Murias, selain gelaran Raja Bukit Tour of the Alps pada tahun yang sama.

Pelumba kelahiran Burlada dan kini berada di ranking 349 dunia ini kemudian dilamar Astana pada 2020-2021 sebelum menyertai Movistar tahun ini, dengan keputusan terbaik menduduki tempat kedua keseluruhan Tour of Hongrie.

Movistar juga pasti bergantung kepada pengalaman Ivan Ramiro Sosa, 24, bekas pelumba Androni-Sidermec yang pernah berkayuh pada LTdL 2017, dan menduduki tempat ke-15 keseluruhan.

Bakat besar pelumba kelahiran Pasca itu menyerlah bersama Androni dan menjadi rebutan beberapa pasukan handala dunia tetapi memilih Team Sky pada 2019-2021, sebelum menyertai Movistar tahun ini.

Antara pencapaian besar dalam kariernya termasuklah jersi Raja Bukit Volta a Burgos 2019 dan jersi kuning Vuelta a Asturias, selain tempat ke-10 keseluruhan Volta a Andalucia pada tahun ini.

Seorang lagi pendaki yang dibawa ialah Einer Agusto Rubio Reyes, 24, yang menyertai pasukan itu pada 2020 dan tersenarai dalam skuad ke Giro d’Italia 2020 dan 2021.

TIga anggota Movistar lain adalah pakar pecut dari Jerman, Max Kanter, 24, bekas pelumba Sunweb dan DSM yang kini berada di tangga ke-137 ranking UCI; pelumba kelahiran Brazil berusia 21 tahun, Vinicius Rangel Costa dan juara kebangsaan ujian masa Denmark yang akan memacu Kanter ke kelompok depan, Mathias Norsgaard Jogensen, 25.

Sama seperti Movistar, EF Education-EasyPost yang kini menduduki ranking ke-15 UCI, juga hadir dengan tiga pendaki berkebolehan iaitu dua pelumba Colombia, Jhoan Esteban Chaves Rubio, 32, dan Diego Andres Camargo Pineda, 24, serta pelumba Ukraine, Mark Padun, 26.

Esteban Chaves, yang kini berada di ranking 113 dunia, adalah antara muka tetap Orica GreenEdge dan Michelton-Scott di Grand Tour, pernah menang tiga peringkat Giro d’Italia dan dua peringkat Vuelta a Espana dari 2015 hingga 2019.

Pineda pula yang diserap EF Education pada 2021 dilihat sebagai pendaki berbakat dan diberi kepercayaan berlumba di Vuelta pada tahun lalu dan Giro pada tahun ini sementara Padun, bekas pelumba Bahrain-Merida yang beraksi lima kali dalam Grand Tour dan terkenal dengan sifat agresifnya terutama di Criterium du Dauphine pada tahun lalu.

Tiga lagi pelumba EF yang akan dipimpin Pengurus yang juga bekas jaguh dunia, Tejay Van Garderen ini ialah dua pelumba Belanda, Julius Van Den Berg, 25, dan Marijn Van Den Berg, 23, serta pelumba Ecuador, Jerferson Cepeda, 26.

LTdL22 akan membuka tirai saingan dengan Peringkat 1 Kuala Pilah ke Kuala Lumpur sejauh 157.3km; Peringkat 2 Kuala Klawang-Raub (178.9km); Peringkat 3 Putrajaya-Genting Highlands (123.7km); Peringkat 4 Sabak Bernam-Meru Raya  (137.9km); Peringkat 5 Kuala Kangsar-Kulim (172.0km); Peringkat 6 Georgetown-Alor Setar (120.4km); Peringkat 7 Kuah-Gunung Raya (90.8km) dan Peringkat 8 Loop Langkawi (115.9km), membabitkan jarak keseluruhan 1,096.9km.

LTdL 2022 kali ini dianggap paling sengit dan menarik dapat disaksikan dengan penyertaan enam pasukan WorldTeam iaitu UAE Team Emirate (UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education EasyPost (Amerika Syarikat), Movistar (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan (Kazakhstan).

Empat pasukan berstatus Pro Continental pula adalah Drone Harper-Androni Giocattoli (Itali), Uno X-Pro Cycling (Norway), Alpecin-Deceuninck (Belgium) dan Burgos-BH (Sepanyol).

Cabaran pasukan Continental pula diketuai dua pasukan profesional benua tempatan, Terengganu Polygon Cycling Team dan Team Sapura Cycling, dua pasukan berdaftar di Indonesia iaitu Mula Cycling Team dan Roojai Cycling Team, ARA Pro Racing Sunshine Coast (Australia), China Glory Continental Cycling Team (China), ProTouch (Afrika Selatan) da Kuwait Pro Cycling (Kuwait).

Pasukan rantau Asia lain termasukah Thailand Continental Team (Thailand), Team UKYO (Jepun), 7-Eleven Cliqq Air (Filipina) dan pasukan kebangsaan Malaysia.

- Advertisement -