juara-lelaki

juara-perempuan

Oleh Muhammad Aiman

Sambutan menggalakkan diterima dari hari ke hari bukan sahaja hadir sebagai khabar ceria tetapi turut mendorong Persatuan Floorball Malaysia (PFM) untuk mengorak langkah lebih pro-aktif di dalam memperkasakan minat terhadap sukan itu di kalangan orang ramai.

Presiden PFM, Rizal Md Razman berkata, “Ramai sebenarnya nak main floorball, ia senang dimainkan dan semakin mendapat sambutan. Kalau kita anjurkan apa-apa kejohanan sekalipun, kita dapat lihat kemeriahannya.

“Ia bukan lagi sukan terpencil ataupun kurang popular, memang banyak yang telah kita rancang untuk memastikan sukan ini dapat dikembangkan, terutama memperkenalkannya di peringkat sekolah, dimainkan sebagai sukan teras di sekolah seterusnya membawa ia ke peringkat yang lebih tinggi.”

Rizal bercakap kepada Sports247 selepas majlis penutup Kejohanan Floorball Kelab Antarabangsa Piala Tun Razak yang diadakan bersempena meraikan Hari Sukan Negara 2016 di IM4U Sentral, pada Ahad lalu.

“Sepertimana telah kita lihat pada penganjuran Piala Merdeka (September) serta Piala Tun Razak ini, jumlah penyertaan cukup memberangsangkan. Sebagai contoh, kita hanya ada 4 minggu selepas buat keputusan anjurkan Piala Tun Razak, dan dalam tempoh itu berjaya dapatkan penyertaan 25 pasukan lelaki dan 9 wanita, termasuk dari negara luar seperti Singapura dan Thailand.

“Mungkin kalau kita ada masa yang lebih, kita juga boleh dapatkan pasukan dari Eropah untuk ambil bahagian. Tetapi apa yang mahu ditekankan adalah sokongan kita terima dari pasukan tempatan, ahli-ahli gabungan kita yang mana masing-masing menghantar sehingga 3 pasukan. Melihat kepada situasi ini saya yakin PFM berada di landasan tepat untuk terus memacu pembangunan dan perkembangan floorball di Malaysia,” jelas Rizal.    

Pada kejohanan Piala Tun Razak yang dianjurkan buat julung kali, saingan kategori lelaki dimenangi kelab dari Singapura Moose Uncles setelah menewaskan wakil negara, Contact dalam aksi final sekaligus membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM1,500.

Manakala kategori wanita pula menyaksikan Universiti Malaya muncul juara dengan menewaskan Vendetta Eagles dan meraih hadiah wang tunai berjumlah RM1,000.  

“Ini adalah antara kejohanan paling mudah untuk kita anjurkan, kita ucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama sokongan dari IM4U. Dan, selalunya kita tidak tawarkan hadiah kemenangan, kali ini ada walaupun tidak besar nilainya.

“Tetapi yang mudahnya mengenai floorball ini, ia tidak membabitkan kos tinggi kerana mereka datang bermain kerana minat, kerana keinginan nak bermain. Kita (PFM) juga tidak mengharapkan dana kerajaan sebaliknya uruskan segalanya menerusi penajaan.

“Kalau kita tengok ada sesetengah sukan, kita perlu bayar mereka yuran penampilan, kena bayar elaun kepada pemain, floorball tidak macam tu, sebaliknya mereka sanggup datang bermain dengan membayar yuran penyertaan. Keluarkan duit sendiri, ia sepenuhnya kerana minat,” tambah Rizal lagi.

Sementara itu, Timbalan Presiden PFM, Dzul Akbar Dom Ami pula berkata usaha untuk memastikan floorball dapat dipertandingkan sebagai sukan pertunjukan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) telahpun bermula di mana perbincangan sudahpun diadakan dengan Majlis Sukan Negeri Perak (MSNP).

“Walaupun gagal mendapat tempat di Sukan Sea, kita tidak akan berhenti. Kita telahpun berbincang dengan MSNP secara lisan, juga dengan exco sukan Negeri Perak mengenai hal ini agar dapat persembahkan proposal floorball untuk diperkenalkan bukan sahaja kepada Perak tetapi semua negeri terlibat di SUKMA.

“Misi jangka panjang kita adalah membawa floorball ke tahap lebih tinggi. Singapura, Indonesia, Thailand, Jepun, Hong Kong semuanya dah melangkah jauh ke hadapan. Kita dah main floorball sejak 2002, jadi kenapa perlu tunggu lebih lama untuk berada dalam kancah floorball antarabangsa,” ujar Dzul.

Sebelum ini, hasrat PFM mengangkat martabat floorball sedikit terbantut apabila permohonan mereka untuk disenarai sebagai salah satu sukan dipertandingkan di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 ditolak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atas pelbagai alasan yang disifatkan tidak rasional.

- Advertisement -