Ketua jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan mengakui masih terlalu awal untuk berpuas hati dengan persembahan anak buahnya selepas menang 3-1 ke atas Penang FC dalam aksi pertama TM Piala Malaysia.

Meskipun mereka melakar kejutan menewaskan pasukan yang menduduki tangga ketiga Liga Super, Elavarasan menganggap setiap lawan adalah berbeza dan apa sahaja boleh berlaku dalam perlawanan akan datang apatah lagi mereka hadir sebagai satu-satunya pasukan dari Liga Premier dalam kumpulan A.

Tetapi, bekas jurulatih Melaka United FC ini tetap berbangga dengan usaha barisan pemain bagi memastikan permulaan yang cukup positif untuk mereka meraih tiga mata pertama dan bersedia dengan motivasi baharu untuk berdepan Sri Pahang FC pula pada Rabu.

“Kalau nak kata puas hati, kadang-kadang apabila bermain bagus, kita boleh kalah dan kadang-kadang apabila bermain tidak bagus, kita menang, jadi yang penting adalah keputusan ini bagi meraih tiga mata.

“Jadi, kalau nak tanya pasal puas hati ke tidak, saya tidak boleh cakap lagi sebab masih ada lima perlawanan selepas ini, banyak benda lagi kita tidak tahu apa akan jadi, apatah lagi apabila berlawan dengan pasukan daripada divisyen yang lebih tinggi dari kita.

“Tqpi, tahniah kepada pasukan kita kerana masih boleh bertahan untuk menang dan ia bagus untuk permulaan ini, tapi perjalanan masih jauh, kita kena tengok pasukan mampu konsisten atau tidak”, jelasnya.

Satu lagi keputusan dalam kumpulan A membabitkan Kuala Lumpur City FC yang berjaya meraih tiga mata menewaskan Sri Pahang FC dengan keputusan 3-1.

Dalam aksi kumpulan B pula, pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain lega dengan kemenangan pertama menewaskan Kuching City FC semalam apatah lagi pasukan sudah lama tidak merasai kemenangan sejak empat perlawanan terakhir Liga Super sebelum ini.

Namun, berdepan Selangor FC pada Rabu ini dijangka tidak akan mudah meskipun Terengganu mempunyai rekod lebih baik dalam saingan liga selepas dua kali menewaskan skuad kendalian Karsten Neitzel pada musim ini.

“Memang satu kelegaan untuk kami, tahniah kepada semua pemain kerana memberikan persembahan terbaik malam ini.

“Kita sememangnya memerlukan kemenangan ini selepas tak menang dalam empat aksi liga terdahulu, jadi sekarang dapat rasa balik nikmat kemenangan itu memang bagus untuk moral pemain saya.

“Sekarang yang penting adalah berdepan Selangor, dan saya memang dah lupa pasal saingan liga sebab perlawanan sekarang adalah berbeza, di mana kita tahu keadaan Selangor sekarang lebih baik berbanding sewaktu yang kita menang dua perlawanan dengan mereka sebelum ini”, katanya.

Satu lagi perlawanan kumpulan B menyaksikan Selangor FC turut sama meraih tiga mata selepas menewaskan Perak FC dengan keputusan 1-0.

 

- Advertisement -