Pasukan A mengesahkan status selaku juara Piala Presiden selepas menundukkan Pasukan B dengan kemenangan 4-1.

Mata pertama Pasukan A hadir menerusi perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang menundukkan Cheam June Wei dengan kemenangan straight set 22-20, 21-18.

“Meskipun menang, saya masih belum berpuas hati dengan persembahan diri sendiri kerana tidak fokus dalam perlawanan.

“Tetapi saya perlu memuji June Wei yang banyak menunjukkan peningkatan dan memberi tentangan sengit kepada saya,” kata Zii Jia.

Gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yii memastikan Pasukan B semakin tertekan apabila menyumbang mata kedua untuk Pasukan A selepas menundukkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dengan kemenangan 23-21, 21-13.

Pemain muda, Ng Tze Yong terus membuktikan beliau adalah permata BAM yang sedang menyinar apabila menundukkan Leong Jun Hao dalam aksi perseorangan kedua straight set 21-19, 21-11 sekaligus mengesahkan kemenangan untuk Pasukan A yang mendahului 3-0.

“Kemenangan ini satu kepuasan untuk saya ditambah kami sudah mendahului 2-0. Mungkin dia bermain dalam keadaan tekanan kerana pasukannya sudah ketinggalan,” kata Tze Yong.

Pasukan B bangkit untuk mencari mata dan ia berhasil menerusi gandingan bergu kedua apabila Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melakar kemenangan ke atas Low Hang Yee-Ng Eng Cheong 21-19, 21-14.

Muhd Shaqeem Eiman menutup saingan Piala Presiden dengan kemenangan keempat untuk Pasukan A selepas menundukkan Lee Shun Yang 21-15, 23-21.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Norza Zakaria.

Piala Presiden merupakan inisiatif oleh BAM sebagai pemanas badan untuk menghadapi Piala Thomas dan Uber yang dijadualkan berlangsung dari 3-11 Oktober di Aarhus, Denmark.

Namun Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memutuskan untuk menangguhkan kejohanan itu susulan keadaan semasa penularan COVID-19 yang melanda global ketika ini dan beberapa negara termasuk juara 13 kali Piala Thomas, Indonesia yang menarik diri.

20 pemain disenarai untuk Piala Presiden yang berlangsung dari 16 dan 17 September di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.

Semalam Pasukan Wanita A muncul juara selepas menundukkan Pasukan B dengan kemenangan 3-2.

 

KEPUTUSAN PERLAWANAN – BERPASUKAN LELAKI

MS1 Lee Zii Jia – Cheam June Wei – 22-20, 21-18 (1-0)

MD1 Ong Yew Sin/Teo Ee Ui – Aaron chia/Soh Wooi Yik – 23-21, 21-13 (1-0)

MS2 Ng Tze Yong – Leong Jun Hao – 21-19, 21-11 (1-0)

MD2 Low Hang Yee/Ng Eng Cheong – Goh Sze Fei/Nur Izzuddin Rumsani – 19-21, 14-21 (0-1)

MS3 Muhd Shaqeem Eiman – Lee Shun Yang – 21-15, 23-21

- Advertisement -