Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak (Wanita) 2021 yang membuka tirai secara rasminya pagi ini menyaksikan empat pasukan Pahang dan Melaka bagi Kumpulan A serta Kedah dan Selangor bagi Kumpulan B membawa pulang tiga mata berharga pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Aksi kumpulan A yang bermula jam 7.30 pagi menyaksikan Pahang yang turun dengan reputasi sebagai juara bertahan menundukkan Negeri Sembilan 3-0 menerusi dua gol pukulan sudut penalti dan satu jaringan menerusi gerakan padang.

Pahang membuka tirai jaringan pada minit ke-13 hasil gol pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Siti Zulaikha Hussin sebelum Zati Alyani Muhamad Zubir menggandakan jaringan menerusi gerakan padang pada minit ke-38 dan Nor Izaidah Ibrahim melengkapkan gol ketiga Pahang hasil kelebihan pukulan sudut penalti pada minit ke-47.

Ketua Jurulatih Pahang, Mohamad Sabri Mohamad menyifatkan pemainnya yang bermula dengan agak perlahan berjaya untuk bangkit mendapatkan rentak permainan sebenar, sekaligus menjaringkan tiga gol yang cukup bermakna.

“Saya berpuas hati dengan aksi hari ini tetapi terdapat beberapa perkara yang perlu diperbetulkan daripada segi untuk menggunakan peluang menjaringkan gol dan kami akan memperbaikinya sebagai persediaan bagi pertemuan dengan Sabah.

“Pemain telah menunjukkan kematangan dan mereka telah lama dikumpulkan bersama untuk berlatih dan sebagainya. Untuk Piala Tun Abdul Razak, kebanyakan pemain baru pertama kali beraksi tetapi mereka telah menunjukkan persembahan yang positif,” jelasnya.

Satu lagi aksi Kumpulan A menyaksikan dua gol Nur Aisyah Yaacob menerusi penalti stroke pada minit ke-41 dan gol gerakan padang pada minit ke-47 membantu Melaka mengutip tiga mata pertama mereka.

Dalam pada itu, aksi bagi Kumpulan B yang bermula jam 9.30 pagi ini menyaksikan Nuramirah Shakirah Zulkifli muncul penjaring terbanyak setakat ini dengan menjaringkan empat gol ketika membantu Kedah menewaskan Perak 4-1.

Jelas pengendali Kedah, Mohd Jadwi Abd Halim perlawanan hari ini mereka lebih menumpukan kepada taktikal yang telah dirangka selain memuji barisan penyerang pasukannya yang bijak mencuri peluang ketika melakukan serangan balas.

“Untuk perlawanan pertama hari ini saya lebih mementingkan struktur perlawanan untuk mendapatkan corak permainan yang kami mahukan.

“Kami mempunyai pemain penyerang yang bagus jadi kami lebih banyak melakukan serangan balas dan Alhamdulillah kami dapat menjaringkan empat gol.

“Bagaimanapun Perak memberikan tentangan hebat kepada kami dan bukan mudah untuk kami memasuki kawasan gol lawan, tetapi kami tetap berjaya mengikuti perancangan yang telah diatur,” jelasnya.

Satu lagi aksi kumpulan B pula menyaksikan finalist tahun lalu, Selangor tidak menunggu lama untuk memulakan pencarian gol ketika menewaskan PDRM 2-1 apabila Anis Nurfatihah Asmidee menjaringkan dua gol padang berturut-turut dalam tempoh beberapa saat selepas minit kedua perlawanan bermula.

Minit ke-53, PDRM yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti berjaya menyempurnakan kelebihan tersebut untuk mencuri satu gol daripada pertemuan dengan Selangor.

Jadual Perlawanan (Khamis, 11/11/21)

Kumpulan C (7.30 pagi)

NHS 1 : Kuala Lumpur mln Pulau Pinang

NHS 2 : Sarawak mln Terengganu

Kumpulan A(9.30 pagi)

NHS 1 : Pahang mln Sabah

NHS 2 : Negeri Sembilan mln Melaka

- Advertisement -