Pandalela Rinong dan Cheong Jun Hoong

Oleh Muhammad Aiman

Dua atlet terjun, Pandalela Rinong dan Cheong Jun Hoong berganding cemerlang melakar sejarah apabila menghadiahkan pingat pertama Malaysia di Sukan Olimpik Rio De Janeiro dengan meraih pingat perak dalam acara 10m platform seirama awal pagi tadi.

Pandalela dan Jun Hoong yang berada di tempat ketiga selepas tiga terjunan, tampil dengan terjunan meyakinkan dan bertenaga pada dua terjunan terakhir untuk mengumpul  344.34 mata di Pusat Akuatik Marina Lens.

Mereka berkesudahan di belakang pemenang pingat emas dari China, Chen Roulin/Liu Huixia yang mengumpul 354.00 mata manakala pasangan dari Kanada Meaghan Benfeito/Roseline Filion meraih gangsa dengan catatan 336.18 mata.

Menariknya, ia adalah pingat perak pertama negara dari luar sukan badminton dan pingat yang kedua dari sukan terjun setelah Pandalela membawa pulang pingat gangsa dari London 2012, dalam masa sama memadam kekecewaan Jun Hoong yang terlepas pingat pertama negara dalam acara 3m terjun seirama papan anjal bersama gandingannya Nur Dhabitah Sabri pada Isnin.  

Kejayaan ini diharap dapat menyuntik motivasi dan semangat tambahan kepada barisan atlet lain yang akan turun beraksi membawa cabaran negara dalam baki saingan selepas ini.  

- Advertisement -