2016 Jelajah Malaysia - Pishgaman Giant Team of Iran
Pasukan Pishgaman Giant melebarkan penguasaan mereka apabila membolot podium peringkat kedua.

Oleh Ku Mohd Lufti

Selepas mengungguli peringkat pertama Jelajah Malaysia 2016 dari Dataran Merdeka ke Ipoh semalam, pasukan Pishgaman Giant melebarkan penguasaan mereka apabila membolot podium peringkat kedua.

Laluan sejauh 113.4 kilometer dimana perlumbaan tamat dengan dua pendakian kategori Hors di Kg Raja dan Brinchang tampak mudah ditakluki Arvin Moazami Godarzi, Reza Hosseini dan Amir Kolahdouz Hagh apabila paling awal melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 12 minit 6 saat.

Ini adalah podium kedua pelumba berusia 26 tahun itu selepas menjuarai acara ujian masa individu di perlumbaan peringkat kebangsaan Mei lalu.

Kemenangan itu menyaksikan jersi kuning selaku pendahulu bertukar kepada Arvin yang berkelebihan lebih tiga minit didepan pemenang peringkat pertama yang juga rakan sepasukan, Rahim Emami.

2016 Jelajah Malaysia - Pishgaman Giant Team of Iran

Pemenang tempat ketiga peringkat kedua hari ini, Amir Kolahdouz Hagh pula menyarung jersi polka dot selaku raja bukit baru selepas mengumpul markah tertinggi, 50 mata, mengatasi dua rakannya Reza Hosseini (40 mata) dan Arvin (32 mata).

Di atas kertas,raja bukit Jelajah Malaysia bagi tahun 2016 sudah hampir pasti menjadi milik Amir Kolahdouz Hagh kerana hanya tiga pendakian kategori 4 sahaja menanti di peringkat ketiga esok dari Gua Musang ke Paser Putih, Kelantan.

Manakala peringkat ke 4 dan ke 5 merupakan laluan landai dimana perebutan untuk jersi kuning (pendahulu), biru (raja pecut), putih (terbaik Asia), dan merah (terbaik Malaysia) bakal ditentukan.

2016-jelajah-malaysia-dataran-merdeka-ke-ipoh

Dalam pada itu, Rahim Emami terus mengekalkan jersi biru selaku raja pecut selepas tamat dua peringkat perlumbaan, mengumpul 20 mata.

Kedudukannya masih belum selamat kerana hanya dibezakan 1 mata dengan Arvin, manakala pakar pecut Terengganu Cycling (TSG) Harrif Salleh ketiga dengan 15 mata.

Harrif Salleh meraih 8 mata di dua zon pecutan di Tanjung Rambutan dan Tambun untuk mengurangkan defisit mata dengan Arvin dalam perebutan gelaran raja pecut JM 2016.

Pelumba terbaik Malaysia kekal disarung pelumba TSG, Nur Amirul Fakhruddin Marzuki selepas muncul satu satunya pelumba Malaysia menamatkan peringkat kedua dikelompok 15 pelumba teratas.

Peringkat ketiga esok, perlumbaan akan berlangsung di negeri Kelantan, bermula dari Gua Musang dan tamat di Pasir Puteh dengan jarak 169.1 kilometer.

- Advertisement -